Ibu bayi itu, 31, yang juga seorang peniaga berkata beliau menghantar anak bongsu daripada dua beradik itu ke rumah pengasuh pada 11 pagi sebelum pergi bekerja dan mengambilnya pada 9.30 malam.


"Waktu itu, pengasuh beritahu pipi anak digigit nyamuk sebelum dia menyapu losyen pada seluruh badan termasuk pipinya dan menyebabkan berlakunya alahan. Dalam keadaan gelap saya tidak syak apa-apa dan terus pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Beliau, bagaimanapun terkejut apabila mendapati terdapat kesan lebam pada pipi anaknya sebelum membawanya ke klinik swasta berhampiran pada keesokan hari.


"Saya bawa anak ke klinik pada 9.30 pagi dan doktor maklumkan kesan pada pipi anak bukan akibat alahan tetapi berkemungkinan didera kerana terdapat kesan lebam pada pipi kanan dan kiri.


"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Langgar sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut. Anak telah dimasukkan ke wad kanak-kanak, semalam dan pagi ini akan menjalani pemeriksaan x-ray," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan bahawa pengasuh berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira 4 petang semalam untuk siasatan lanjut.- BERNAMA