Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu bayi berkenaan Dhiaannasha Mohamad Shaiful yang berada dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani kira-kira 9 malam tadi.


Sementara itu, seorang lagi mangsa yang maut, Nurizzatunhusna Mohd Aminudin Bakri, 24, yang menaiki kereta jenis Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan mayatnya dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat.


Beliau berkata dalam insiden itu, kenderaan Honda Stream yang dipandu lelaki berumur 65 tahun, datang dari arah Ulu Sedaka dan sedang menghala ke Selengkoh, telah melanggar sebelah kiri kereta Proton Persona yang dalam perjalanan dari arah Guar Chempedak menghala ke Pulau Bunting. 


"Akibat pelanggaran tersebut kereta Pesona itu berpusing manakala Honda Stream itu terbalik hingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Volkswagen Vento yang datang dari arah Selengkoh," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Katanya empat mangsa mengalami kecederaan parah iaitu pemandu dan penumpang belakang kenderaan Proton Persona serta pemandu dan penumpang wanita berusia 60 tahun kenderaan Honda Stream.


Bagaimanapun Shahnaz berkata pemandu kereta Volkswagen Vento berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mangsa yang cedera parah itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. - BERNAMA