Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad berkata, 32 peserta dari Kedah dan 13 pula dari Perlis itu mengikuti kursus jahitan selama enam bulan secara percuma oleh FTC dan dibekalkan mesin jahit di bawah pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Peserta kursus jahitan ini dibahagikan dalam dua kelompok iaitu 20 orang akan beroperasi di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang yang dijadikan pusat komuniti manakala yang selebihnya akan bekerja di rumah.

"Kita akan bantu para peserta ini mendapatkan tempahan pakaian korporat dan melalui cara ini ada jaminan pendapatan untuk para peserta yang mengikuti latihan kemahiran dan kerjaya ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan jahitan PPP dan penyampaian sijil program latihan kemahiran dan kerjaya di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang di sini hari ini.

Yang hadir merasmikan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.

Menurut Rohaizat, FTC dengan bantuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memperuntuk sebanyak RM100,000 setahun untuk melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya tersebut yang merupakan program pertama di Kedah.

"Peserta dipilih melalui sistem e-Kasih iaitu mereka yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan berpendapatan rendah.

"Program ini diharapkan dapat mengubah pemikiran mereka untuk terus maju dan menjana pendapatan tambahan serta melahirkan usahawan khususnya usahawan luar bandar," jelasnya.

Dalam pada itu, Tajudin berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak KKLW serta FTC untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri itu.

"Sekarang kadar kemiskinan di Kedah ialah 1.86 peratus dan kita mahu tingkatkan kemahiran serta latihan kepada golongan ini agar mereka boleh menjana pendapatan sendiri.

"Saya juga ingin menyeru kepada golongan miskin di negeri ini agar segera berdaftar dengan sistem e-Kasih supaya penyaluran bantuan dan juga kemahiran kepada mereka dapat dilakukan," katanya.