Penyelaras Sekretariat Ja­watan­kuasa Pengurusan Ben­cana Negeri Kedah, Kapten Pertahanan Awam Saifuddin Abdullah berkata, jum­lah itu kian meningkat berbanding pusat pemindahan di Sekolah Ke­bangsaan (SK) Bukit Kechil, Mu­kim Bukit Meriam di Kuala Muda yang menempatkan mangsa te­ramai iaitu 319 individu daripada 67 keluarga sejak dibuka pada pukul 5 petang semalam.

“Malam tadi, tiga lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Kampung Jilid Lapan pukul 8 malam, Dewan Kampung Balai di Kuala Kedah pukul 9 malam, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun pukul 11.30 malam.

“Ketiga-tiga pusat pemindahan itu menempatkan seramai 213 mangsa daripada 47 keluarga. Ke­mudiannya pagi ini satu lagi pusat pemindahan dibuka di Dewan Kampung Sungai Pial, Merbok yang menempatkan 66 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Lembaga Ke­ma­juan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memberitahu, hu­­jan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan aliran air dalam sungai meningkat di kebanyakan tempat.

“Paras air Sungai di Kuala Ne­rang meningkat ke paras bahaya dan aliran air berlebihan yang tinggi dijangka meningkatkan pa­ras air di terusan-terusan utama MADA antaranya Alor Changileh, Lana Bulu, Sungai Anak Bukit dan Sungai Kedah.

“MADA akan berusaha untuk memastikan sebanyak mungkin air ini dilepaskan ke laut. Begitu pun disebabkan kenaikan paras air yang tinggi, beberapa tempat yang rendah di sepanjang laluan terusan tersebut dijangka akan mengalami limpahan air,” kata ke­nyataan tersebut.

Antara kawasan yang perlu diberi perhatian adalah Kampung Telok Malik, Jitra, Senara, Guar Kepayang, Alor Senjaya, Alor Gunung, Kampung Simpang Tiga di Kepala Batas, Sungai Kubang Rotan, Sungai Baru dan kawasan sepanjang Sungai Pendang serta Sungai Kedah.