Pengerusi Jawatankuasa Pe­nerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, ia sekali gus menjadikan projek pembangu­nan bandar pintar Kedah yang terhenti sebelum ini akan diteruskan dengan menjadikan pulau pelancongan itu sebagai tapak perintis.

“Perkara pertama yang kita akan lakukan adalah mengambil alih IOCC daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada bulan depan.

“Seterusnya projek pemba­ngu­nan di Langkawi itu akan dimulakan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penerapan dan Pelaksanaan Pembangunan Bandar Pintar Kedah di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Bhd. (PKB), Abdul Rahman Din dan Ketua Pegawai Eksekutif STT Technologies Sdn. Bhd., Suhaimi Ahmad.

Mohd. Firdaus berkata, CCTV itu akan dilengkapi teknologi pengecaman wajah dan kende­raan yang membolehkan sebarang maklumat berkaitan kemalangan, kebakaran atau bencana alam dapat disalurkan kepada pasukan penyelamat dengan cepat.

“Segala maklumat itu akan dipantau 24 jam oleh CCTV dan apa yang berlaku akan disalurkan terus kepada IOCC sebelum pusat kawalan itu menyalurkannya kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Selain menekankan aspek keselamatan, konsep bandar pintar ini juga meliputi kemudahan jalur lebar tanpa wayar secara percuma, sistem pembayaran tanpa tunai dan penggunaan aplikasi telefon pintar untuk perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan agar CCTV berteknologi tinggi dipasang di pintu masuk pelancong ke pulau tersebut bagi mengesan lokasi terakhir seseorang pelancong sekiranya berlaku sebarang kejadian.