Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pengunjung, pihak muzium meletakkan notis memaklumkan tangga itu tidak selamat digunakan.

Bagaimanapun tindakan itu dianggap kurang berkesan kerana tangga itu terletak di laluan air dan tidak mustahil kejadian tanah mendap akan berulang jika hujan lebat hingga boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati ramai pengunjung berharap masalah mendapan tersebut dapat diselesaikan segera oleh pihak berkenaan demi mengelak insiden buruk berlaku.

Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Shahzan Abd. Ghani, 43, dari Selayang, Selangor yang kali pertama mengunjungi muzium ini terkejut mendapati kemudahan di situ kurang diberikan perhatian untuk keselesaan pengunjung.

“Tangga ini merupakan laluan utama pengunjung ke tempat mandi-manda bersama keluarga selepas melawat galeri tetapi dibiarkan rosak lama.

“Dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, tanah di sekeliling tangga ini boleh runtuh dan membahayakan pengunjung jika lewat diambil tindakan,” katanya.

Seorang remaja dari Singkir Darat, Tanjung Dawai, Mohd. Amir Haikal, 16, berkata, sejak tangga itu tidak boleh digunakan orang ramai terpaksa melangkah tembok hingga merosakkan tanaman di sekeliling.

“Macam kami remaja tak apalah menggunakan laluan mana pun, tapi bagaimana pula dengan golongan wanita dan anak kecil kerana tempat berkelah terletak agak curam ke bawah serta dipenuhi batu besar yang boleh mendatangkan bahaya semasa dilalui,” katanya.

Seorang pengunjung, Rosinah Lajid, 53, berkata, runtuhan dan mendapan itu boleh mengundang bahaya jika kerja-kerja selenggaraan tidak dijalankan segera.

Sementara itu, Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Azman Adam berkata, pihaknya memaklumkan kejadian itu kepada ibu pejabat Jabatan Muzium Malaysia selepas memanggil kontraktor memeriksa dan membuat sebut harga untuk membaikinya.

“Pihak kita turut mengambil langkah keselamatan meletakkan notis bahaya selain menggerakkan anggota mengawasi kawasan berkenaan sepanjang masa ter­utama ketika ramai pengunjung untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.