Tidak keterlaluan jika beliau yang mesra dengan sapaan sebagai ‘Tok Man Bedol’ sanggup me­ngetepikan layanan ke­las pertama demi mendekati masyarakat.

Jika menghadiri kenduri atau majlis keraian, tidak sama sekali mengharapkan layanan istimewa malah beliau sendiri menuju ke ruang masak atau ‘gedohok’ untuk bergaul dengan tukang masak dan mengambil sendiri lauk untuk dijamah.

Bukan memilih tetapi baginya, itulah simbolik beliau menghargai penat lelah tukang masak menyediakan makanan minum serta perkhidmatan terbaik kepada te­tamu dengan bergaul dan makan bersama mereka.

Sebagai seorang pemimpin, beliau sangat disegani seluruh penduduk dalam tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.

Janggal baginya mengenal pasti pegangan politik seseorang terlebih dahulu kerana sedar tanggungjawab kepada masyarakat.

Sebarang permasalahan yang dihadapi penduduk tidak akan dilengahkan sebaliknya beliau dengan segera berusaha mengatur gerak langkah bagi menyelesaikan masalah atau tindakan.

Itu cukup memberi gambaran beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang disenangi serta di­sayangi oleh seluruh penduduk Pendang.

Pendang pula kawasan yang cukup menarik sejarahnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) kawasan tersebut diwakili oleh Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor.

Kerusi tersebut seterusnya di­sambung Mohd. Hayati Othman hingga PRU-13 sebelum Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi tersebut.

Kemenangan dengan majoriti 2,638 undi tersebut adalah hasil usaha wakil rakyat BN memena­ngi hati penduduk yang rata-rata terdiri daripada penoreh getah dan pesawah dengan memberikan perkhidmatan terbaik.

Walaupun begitu, kemenang­an tersebut tidak datang bergolek apabila berdepan dengan calon pembangkang ketika itu, Moha­mad Sabu yang merupakan Timbalan Presiden Pas.

Kejayaan tersebut adalah usaha tanpa henti menawan kemba­li kawasan merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) ia­itu DUN Tokai dan Sungai Tiang.­ Menyedari hakikat itu, sebaik sahaja diberikan mandat menjadi wakil rakyat, Othman tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus membawa kemajuan untuk dinikmati masyarakat segenap lapisan selain memenuhi kehendak rakyat yang gagal dipenuhi wakil rakyat pembangkang sebelum ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun yang dilalui, antara perkara diberi tumpuan adalah menyediakan kemudahan kepada penduduk bagi meningkatkan taraf hidup selain menyediakan infrastruktur mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

“Banyak program telah dilaksanakan dalam bentuk bantuan kepa­da golongan penoreh getah dan pe­sawah padi untuk me­ningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan- pertemuan bersama rakyat turut diatur dari semasa ke semasa bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka selain mengemaskini perkembangan dalam kawasan tanggungjawabnya.

“Saya mengamalkan pendekatan mikro iaitu sering berjumpa dengan penduduk dengan skala kecil bagi mengelakkan tertinggal sebarang isu membelenggu mereka.

“Selain itu melalui cara ini saya dapat mengenali penduduk ­dengan lebih rapat,” jelasnya.

Beliau memberitahu, terdapat banyak projek pembangunan akan dilaksanakan dengan memfokuskan aspek pendidikan dan kebajikan terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Saya merancang untuk me­nga­dakan lebih banyak program yang dapat membantu golongan tersebut memperoleh pendapatan lebih tinggi selain mening­katkan jumlah usahawan de­ngan pelbagai jenis bantuan dam bimbingan.­

“Saya percaya apabila berlaku peningkatan ekonomi, semua peringkat masyarakat dapat me­rasainya,” jelasnya.