Komponen enjin tersebut yang cuba dicuri nelayan a­sing dan diselamatkan pihak berkuasa kira-kira lima tahun lalu, merupakan sumbangan Mu­zium Tentera Darat, Port Dickson.

Menurut Pengarah Muzium Pengurusan, Dr. Mohd. Kasri Saidon, terdapat perkara yang cukup mengujakan berkaitan enjin tersebut sekali gus menambah nilai sejarah yang ada padanya.

“Apabila menerima komponen enjin tersebut dari Muzium Tentera Darat, kami me­laksanakan proses konservasi terhadapnya.

“Tanpa disangka-sangka, ka­­­kitangan kami menemukan cebisan wang British bernilai 100 dolar terselit di celah-celah komponen enjin tersebut. Sudah tentu perkara itu menambah nilai sejarah yang ada pada artifak berkenaan,” katanya ke­pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu katanya, antara artifak dipamerkan adalah batu nisan dari Aceh yang dipercayai milik golongan bangsawan dan ditemukan penduduk kampung di Banai, Jitra.

“Batu nisan tersebut ditemukan dalam busut oleh sekumpulan pekebun. Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dan sehingga kini kami masih tercari-cari siapa pemilik sebenarnya.

“Bagi kami, batu nisan tersebut menunjukkan yang kawasan itu memiliki penempatan tersusun pada zaman dulu kerana biasanya golongan bangsawan tidak akan tinggal di kawasan-kawasan pedalaman,” katanya.

Selain itu, turut dipaparkan adalah uniform milik wira negara, Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat yang terkorban akibat serangan pengganas di Lahad Datu.

“Beliau merupakan bekas mahasiswa di universiti ini dan pameran mengenai dirinya serta komando VAT 69 itu merupakan satu penghormatan buat Allahyarham kerana kami sebagai warga UUM amat berbangga dengannya,” katanya.

Sementara itu beliau turut menzahirkan harapan supaya muzium berkenaan dapat menarik minat ramai pihak ter­utamanya pelancong asing.

“Sebaik melangkah ke negara ini dari pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, ini merupakan muzium pertama yang boleh dijejaki pengunjung. Bagi pelancong luar saya berharap supaya muzium ini akan menjadi ‘pe­ngenalan” buat Malaysia kepada mereka,” katanya.