Pameran yang bermula 20 Mac lalu hingga 19 April ini, julung-julung kali diadakan di wilayah utara bagi memberi peluang kepada orang ramai dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan selatan Thailand untuk menyaksikan sendiri sebanyak 27 artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Pengarah Lembaga Muzium negeri, Suhaidi Shukri berkata, tujuan utama penganjuran pameran ini adalah untuk memberi peluang kepada pengunjung terutama rakyat negeri ini untuk melihat sendiri artifak peninggalan Rasulullah SAW.

“Selain itu, pameran yang kali keempat dianjurkan selepas Kelantan, Melaka dan Putrajaya itu untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai artifak yang dipamerkan serta kegemilangan tamadun Islam.

“Antara artifak yang boleh dilihat pengunjung ialah rambut, tapak kaki, serban, tongkat, busur, panah serta cap mohor milik Rasulullah SAW di samping pedang sahabat baginda, Khalid Al Walid, Umar al-Aas dan Saidina Hamzah,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Suhaidi, usaha sama antara Urusan Dragon Heart Sdn. Bhd. dan Galeri Warisan M.A.R itu memberi peluang kepada pihaknya membawa masuk artifak asli tersebut yang di­pin­jam daripada Galeri Sultan Brunei bagi tatapan eksklusif penduduk negeri ini.

Sementara itu, Pengurus Pameran tersebut, Razali Bachik berkata, pengunjung bertuah ju­ga berpeluang membawa balik sehelai baju-T, al-Quran digital dan pakej umrah selain berpeluang menyaksikan artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang diperoleh daripada pemegang koleksi peribadi dari Turki, India, Syria, Mekah dan Madinah.

“Selain artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat, pada pameran kali ini kita turut mempamerkan kiswah pintu kaabah, kunci kaabah, al-Quran emas, jam matahari dan batu yang tertera ayat al-Quran.

“Sehubungan itu, saya mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang ber­kunjung ke sini ke­ra­na selepas ini pihak kami merancang untuk meneruskan jelajah nu­santara ini ke Kompleks Karangkraf di Shah Alam, Selangor; Surabaya, Indonesia; Thailand, Filipina dan Brunei,” ujarnya.

Menurut seorang guru sejarah, Zainab Omar, 54, pameran itu secara tidak langsung membantu dirinya menyediakan bahan pengajaran bagi mata pelajaran Tamadun Islam untuk dikongsi bersama anak muridnya.

“Apabila mengetahui me­nge­nai penganjuran pameran ini, saya bersama suami dan anak tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri artifak berharga peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat.

“Ini peluang berharga apa­bila dapat melihat ar­tifak Rasulullah SAW tanpa perlu menjelajah ke me­­­rata dunia. Se­lain itu, saya boleh menjadikan mak­lumat yang di­peroleh di pa­­meran ini se­bagai bahan pembelajaran di dalam kelas,” katanya yang berasal dari Sik.

Bagi Muhammad Saifullah Mohd. Nasir, 23, dia bersama lima ahli keluarganya datang dari Sungai Petani semata-mata tidak mahu melepaskan peluang melihat artifak-artifak berharga yang terdapat dalam Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat.

“Kami sekeluarga amat teruja apabila berada di muzium ini kera­na bukan senang nak lihat atau menyentuh artifak milik Rasulullah SAW. Sebagai umat Islam, ini adalah peluang yang amat dinanti-nantikan.

“Saya berasa sangat seronok berada di sini kerana kita boleh saksikan sendiri barangan milik Rasulullah SAW,” ujar kakitangan awam itu.

Pameran tersebut bermula dari 10 pagi hingga 10 malam de­ngan bayaran masuk dikenakan seba­nyak RM20 untuk dewasa, kanak-ka­nak berumur enam ta­hun hingga 18 dan pelajar sebanyak RM10 manakala kanak lima tahun dan ke bawah, percuma.