Mohd. Tajudin Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, masyarakat perlu sedar tindakan menyebar maklumat yang mengandungi bahan palsu merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, pengguna media sosial atau netizen juga perlu melaporkan penyalahgunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Whatsapp kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita mengharapkan pengguna internet di Kedah dapat melaporkan jika terdapat penyalahgunaan kemudahan media sosial bagi memastikan tabiat gemar menyebar maklumat yang tidak diketahui kesahihannya dapat dibendung dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Pada zaman serba canggih, segala maklumat hanya di hujung jari, saya berpendapat masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan sikap meneliti kebenaran dan meminta bukti atas segala maklumat yang di­sebarkan.

“Ini bagi mengelak daripada gejala fitnah berleluasa yang mana boleh menjadi penyakit dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas merasmikan Seminar Media Sosial Peringkat Negeri Kedah, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Penerangan negeri, Aziman Hasan dan Ketua Pejabat SKMM negeri, Mohd. Faizal Azizan.

Mohd. Tajudin berkata, pihak SKMM menerima kira-kira 10 aduan setiap bulan berhubung penyalahgunaan media sosial di negeri ini.

“Jumlah aduan yang diterima pihak SKMM itu bagaimanapun masih boleh dianggap rendah jika mahu dibandingkan de­ngan negeri lain. Bagaimanapun jumlah itu dijangka meningkat berikutan kadar penembusan internet di negeri ini sudah mencapai 73 peratus.

“Difahamkan, SKMM menerima pelbagai aduan termasuk ancaman dan penyebaran berita palsu di media sosial dan pada bulan lepas, pihak SKMM ada menerima aduan di negeri ini berkaitan kes menghina pe­mimpin negara di media sosial dan kini disiasat di bawah 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Katanya, pengguna internet memanfaatkan inisiatif pihak SKMM yang mewujudkan portal sebenarnya.my yang menjadi platform kepada orang ramai menyemak kesahihan berita ditular di laman sosial.