Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, MTN menetapkan kawasan CTT bagi Kedah adalah seluas 3,122 hektar setahun atau 15,610 hektar untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).

"JPNK mengamalkan kaedah penebangan hasil hutan mengikut CTT seperti mana ditetapkan oleh MTN," kata laporan itu.

Katanya, CTT yang ditetapkan bagi setiap negeri bertujuan untuk memastikan perancangan pengurusan hutan teratur dan berkesan, bagi mengimbangi kadar pengusahasilan dengan keluasan hutan pengeluaran dalam Hutan Simpan Kekal.

Dalam pada itu, pengeluaran lesen pembalakan untuk tempoh tiga tahun juga mencatatkan penurunan pada 2017 berbanding 2016 dan 2015, katanya.

Menurut laporan itu lagi, prestasi kutipan hasil hutan bagi tempoh 2015 hingga 2017 juga baik iaitu sejumlah RM144 juta berbanding anggaran yang ditetapkan iaitu RM135 juta.

Bagaimanapun, laporan itu berkata pengurusan aktiviti pembalakan belum mencapai tahap kecekapan yang optimum antaranya lewat mewartakan pindaan dan ketidakseragaman kadar premium yang dikenakan kepada pengusaha.

Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan supaya JPNK mengambil perhatian antaranya terhadap pindaan Kadar-kadar Kaedah-kaedah Hutan (KKH) 1989 Negeri Kedah yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2014 yang belum diwartakan.

Laporan itu berkata perhatian juga perlu diberikan terhadap kadar premium yang dikenakan kepada pengusaha serta kelewatan pembayaran premium oleh pengusaha.

Bagi memastikan pengurusan hasil pembalakan dapat diuruskan dengan lebih cekap, pihak audit juga mengesyorkan antaranya supaya JPNK menyegerakan pelaksanaan pindaan kadar baharu KKH (pindaan) 2016.

"JPNK juga perlu memastikan kawasan pembalakan yang ditawarkan kepada pengusaha adalah seperti mana yang diluluskan oleh Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi dan mematuhi piagam pelanggan jabatan bagi tempoh masa pembayaran premium, pengeluaran lesen dan penyediaan Laporan Penutup Pengusahasilan Hutan," katanya. - BERNAMA