Menurut Abdul Ghani Zainal, 46, dari Unit Telok Kandeh PPK C-III Tajar yang meraih anugerah Unit Peladang Jaya 2016, pelbagai aktiviti tanaman yang diusahakan ahlinya sedikit-sebanyak meningkat­kan pendapatan keluarga mereka.

“Unit kami mempunyai seramai 175 ahli dan untuk menambah pendapatan selain daripada mengusahakan tanaman padi kami turut menanam sayur-sayuran dan buah-buah secara berkelompok.

“Setakat ini keuntungan yang diperoleh cukup memberangsangkan kerana melalui aktiviti seumpama inilah ahli-ahli unit kami berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan tegar kerana sekurang-kurangnya sebulan kami mampu raih pendapatan tambahan RM1,200,” katanya yang juga ketua unit berkenaan.

Bagi anugerah disediakan MADA itu unit berkenaan memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil anugerah.

Menurut Pengerusi Jemaah Pengarah unit berkenaan, Yaacob Awang, 56, usaha mengga­lakkan pembabitan setiap ahli di bawah PPK berkenaan untuk menyertai aktiviti dianjurkan tetap merupakan cabaran utama jawatankuasa itu.

“Namun, apa yang pen­ting semua harus bekerjasama dalam misi membangunkan industri desa ini. Oleh itu hubungan antara semua ahli di unit mesti rapat,” katanya.

Sementara itu menurut Pengurus PPK H-II Kepala Batas, Ku Saadiah Ku Shafie, 47, kejayaan unit tersebut meraih Anugerah PPK Jaya 2016 adalah hasil daripada kerjasama semua ahli yang diibaratkan sebagai satu keluarga.

“Kami bekerjasama sebagai satu keluarga itu dalam menjayakan setiap aktiviti yang dilakukan termasuk menguruskan pusat belian padi kami sendiri.

“Kami juga percaya dalam usaha mencapai kejayaan semua peladang perlu menerima perubahan dan kemajuan baharu dalam bidang pertanian. Oleh sebab itu kami sebulat hati akan menggunakan teknologi dron yang disyorkan MADA untuk mengusahakan tanaman padi kelak,” katanya.