Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Bashawir berkata, kemenangan itu memberi pengiktirafan kepada produk keluaran universiti berke­naan secara tidak langsung me­nunjukkan jenama ‘Manager’s Coffee’ berpotensi dikembangkan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Cap dagangan memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan untuk dikenali dari segi jenama dan juga kualiti.

“Apabila ‘Manager’s Coffee’ sudah memiliki cap dagangan sendiri, jenama terbabit akan semakin kukuh dan akan lebih dikenali ramai dengan kualiti kopi yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Datuk Saifuddin Nasution dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof Dr. Ayoib Che Ahmad.

Pertandingan AHIN 2018 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang bertemakan ‘Harta Intelek Tempatan ke Persada Dunia’ menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi rakyat Malaysia.

Kemenangan UUM mene­ru­si kategori Cap Dagangan mem­boleh­kan universiti itu membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan yang diiktiraf ‘World Intellectual Property Organisation’ (WIPO).

Menurut Ahmad, kejayaan memperoleh cap dagangan itu bukan sahaja membantu universiti dalam menjana pendapatan malah diharap dapat membantu komuniti sekitar menerusi tawaran peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Kita juga menggalakkan penyertaan pelajar untuk melebarkan sayap perniagaan ini sebagai francaisi apabila mereka tamat pengajian dan mengubah pemikiran mereka,” ujarnya.