Barang lusuh termasuk ken­deraan yang kerap dibeli olehnya melalui tender ialah daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Ker­ja Raya (JKR) dan Rapid KL.

Sebelum ini, anak tempatan dari Sungai Petani ini membuka kedai pertama di Jalan Hospital dan kedai keduanya pula di Jalan Market di sini meraih perhatian ramai apabila kelibat sebuah bangkai Nuri tersadai di tepi jalan sebelum tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Abdul Hamid, inilah kali pertama dia mendapat tender membeli helikopter Nuri yang dilaporkan jatuh terhempas dalam satu insiden di Pulau Perak pada Disember 2013.

“Hendak mendapatkan barang lusuh seperti helikopter Nuri se­perti ini perlu mengikut tender, bagaimanapun, kalau tidak dapat kepada saya ia mungkin dapat kepada orang lain semasa tender dilakukan, kerana helikopter itu rosak teruk pada bahagian bawah perut,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, tugas untuk melupuskan barang besar seperti helikopter tersebut juga adalah satu cabaran untuknya kerana ia memerlukan ketelitian.

Jelasnya, semua barang yang berada dalam helikopter itu, terutama aluminium perlu dipotong secara berhati-hati kerana ia begitu tajam dan jika tersilap langkah mungkin mengundang kecede­raan.

“Silap potong boleh membawa kesan buruk berpanjangan kepada seseorang,” kata Abdul Hamid.

Di sebalik itu, lelaki ini mengakui sangat teruja dengan tugas baharunya itu apatah lagi apabila ia turut dipantau pihak berkenaan dari saat bangkai helikopter itu dibawa ke bengkel berkenaan.

“Semasa membawa helikopter Nuri itu ke bengkel, pesawat malang itu tidak boleh ditegakkan dan kira-kira RM1,000 terpaksa dibelanjakan bagi memudahkan ia berdiri semula untuk memudahkan kerja-kerja pemotongan.

“Kerja-kerja memotong apa sahaja berkaitan helikopter itu dipantau sepenuhnya oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid memberitahu, helikopter ini tidak lagi sesuai untuk dihantar ke mana-mana muzium di negara ini.

“Kalau ikut hati, saya rasa sa­yang untuk melakukan kerja-kerja memotong helikopter itu ke­semuanya.

“Tetapi melalui arahan yang dikeluarkan, saya perlu melakukan kerja-kerja memotong aluminium barang lupus itu hingga selesai,” katanya.

Sebelum ini, helikopter Nuri tersebut menarik perhatian ramai setelah ia dipasang semula secara kemas dari kepala hingga ke ekor dan diletakkan di Jalan Market.

Kementerian Pertahanan da­lam satu kenyataan memaklumkan, kos membaiki rangka pesawat itu amat tinggi menjadikan faktor mengapa kerajaan memutuskan supaya pesawat itu dilupuskan dan tidak dibaiki untuk dijadikan pameran di muzium.

“Buat kerja apa pun perlu jujur kerana silap langkah, termasuk cuai boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

“Saya mahu meneruskan kerjaya ini hingga berjaya, kalau orang lain mampu berbuat demikian, saya juga berupaya me­lakukannya,” tambah Abdul Hamid.