Sejak kemenangannya pada Pi­lihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), namanya semakin dikenali sebagai seorang pemimpin yang amat menjaga kebajikan rakyatnya dan disenangi ramai sama ada kecil, besar, tua mahupun muda.

Biarpun apa sahaja gelaran yang diberikan oleh pembangkang seperti Azeez Toyu dan sebagainya, ia tidak pernah menjadi kudis baginya.

Malah segala kerja dibuatnya satu persatu, diteruskan demi kebajikan rakyat dan pembangunan daerah ini.

Sebagai seorang yang diangkat sebagai pemimpin, Abdul Azeez mahu rakyatnya lebih didahulukan terutamanya dalam soal kebajikan dan pembangunan sosial dan ekonomi.

Pengalaman kalah pada PRU-12 menyedarkannya bahawa rakyat Baling perlu dibela nasib mereka.

Oleh itu, segala kerja dan ta­nggu­ngjawabnya tidak terhenti be­gitu sahaja meskipun kalah, be­liau secara berterusan turun pa­dang untuk mendekati dan menyelami hati dan permasalahan rakyat.

Tumpuan utama beliau adalah untuk membasmi kemiskinan sehingga ke tahap sifar.

Contohnya, lebih 68 rumah-rumah daif dan miskin dibina baharu selain 333 rumah dibaik pulih untuk memberi keselesaan kepada penghuninya.

Usaha membasmi kemiskinan tegar di daerah ini turut menjadi matlamat utamanya dan memperjuangkan nasib penoreh-penoreh getah kerana rata-rata penduduk sini bekerja sebagai penoreh getah serta bertani.

Selain itu, tiga manifesto utama yang diperjuangkan iaitu membina Masjid Daerah, Hospital Pakar dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hampir menjadi nyata.

Usaha itu walaupun diperlekeh oleh parti lawan tentang keupa­yaannya membawa pembangunan ‘mega’ di sini tetapi Abdul Azeez tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kini, masjid daerah yang bakal tersergam indah di tengah-te­ngah bandar Baling dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum Syawal ini.

Manakala UiTM dikenal pasti tapak pembinaannya di Kampung Bandar, Mukim Siong dan proses mengambil alih tapak tersebut dilakukan, cuma menunggu masa untuk upacara pecah tanah.

Hospital Pakar juga dikenal pasti tapaknya di kawasan hospital sedia ada dan hanya me­nunggu masa untuk proses pembinaannya.

“Sehingga kini, bukan sahaja tiga projek itu berjaya dilaksanakan, malah keseluruhannya melebihi 13 projek besar dan ia melepasi KPI seperti yang dijanjikan,” kata Abdul Azeez ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 26 kilang akan didirikan di Tawar bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan jalan raya dari Kuala Ketil ke Tawar akan dinaik taraf menjadi empat lorong untuk kemudahan pengangkutan.

Selain itu, tambahnya, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Tawar turut diadakan untuk kemudahan pengguna jalan raya berhenti dan berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke Kelantan ataupun Pulau Pinang.

“Demikian juga masalah banjir apabila tibanya musim hujan di kawasan ini untuk mengatasinya diadakan projek tebatan banjir di Sungai Ketil, Kupang dan masalah tersebut berkurangan.

“Untuk kesenangan rakyat juga, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia turut diadakan dan sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di Kampung Charuk Sikin, Kupang,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ketia­daan air bersih pula, Abdul Azeez berkata, loji air Sungai Limau akan dinaik taraf bagi menampung jumlah air yang banyak untuk keperluan harian penduduknya.

Untuk kemudahan peminat sukan bola sepak pula, katanya, turut dibina sebuah mini stadium yang lengkap dengan prasarana­nya dan berada di tengah-tengah bandar Baling.

“Dan yang paling membanggakan, Kolej Universiti Insaniah kini diiktiraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah (Unishams),” ujar­nya.

Sedikit sedikit demi sedikit kesan pembangunan yang diusahakan pemimpin Barisan Nasional itu merubah landskap Ba­ling dari­pada daerah yang suram, kepada yang ceria dan maju demi kemakmuran pendu­duknya.