Dakwa penduduk, kewujudan pembahagi jalan sepanjang 400 meter di kawasan memasuki masjid itu menyebabkan mereka terpaksa pergi ke tengah jalan apabila ingin membuat pusingan U sekali gus mengundang risiko kemalangan.

Lebih-lebih lagi kawasan tersebut yang menjadi laluan utama penduduk Kuala Nerang ke Alor Setar juga dikatakan tidak mempunyai lampu jalan.

ROSLI ABDULLAH
ROSLI ABDULLAH 

Penduduk, Rosli Abdullah, 58, berkata, jemaah masjid atau penduduk di kawasan taman berhampiran terpaksa pergi ke tengah jalan akibat kewujudan pembahagi jalan berkenaan.

Katanya, kemalangan sering kali berlaku apabila penduduk khususnya jemaah masjid membuat pusingan U ketika laluan utama itu menjadi tum­puan kenderaan lalu lalang khususnya lori besar.

“Kira-kira enam bulan kewujudan pembahagi jalan itu, sudah berbelas kali kemalangan berlaku termasuk melibatkan nahas yang mengorbankan nyawa.

“Harapan kita agar pembahagi jalan itu dibuang bagi memudahkan pengguna khususnya jemaah keluar masuk ke masjid tersebut. Saya lihat kewujudan pembahagi jalan itu tidak perlu selain menjadi punca kemalangan,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Hassan, 63, berkata, rakan baiknya meninggal dunia minggu lalu ketika ingin membuat pusingan U selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Tak kan pihak berkuasa ingin melihat ramai lagi nyawa melayang baharu hendak ambil tindakan. Sebelum ini, ramai juga cedera parah akibat kemalangan di kawasan tersebut.

“Selain itu, pihak berkuasa juga perlu memandang serius keluh-kesah penduduk di sini khususnya pada waktu malam kerana kawasan tersebut tidak disediakan lampu jalan,” katanya.

Zainal Aziz Md. Zin, 45, pula berharap agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan ke­rana dikhuatiri akan lebih banyak lagi tragedi mengorbankan nyawa,” katanya.