Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pembaha­gian TNB negeri, Ismail Lathifi Teh berkata, sumbangan kelengkapan persekolahan dianggarkan bernilai RM200 itu diberikan kepada murid di empat kawasan Parlimen.

“Empat kawasan Parlimen terpilih bagi menjayakan program ini adalah Langkawi, Padang Te­rap, Kota Setar dan Jerlun. Setiap murid menerima sehelai pakaian seragam, kasut, stoking, beg dan alat tulis.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat TNB kerana kita amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan terutama bagi keluar­ga mempunyai ramai anak,” katanya dalam Program Kembali Ke Sekolah TNB, di sini hari ini.

Program anjuran TNB dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Padang Terap itu dirasmikan isteri Menteri Pendidikan, Datin Seri Noraini Abdullah.

Ismail Lathifi berkata, program tahunan TNB yang dimulakan pada 2013 itu memberi manfaat kepada 12,000 murid kurang berkemampuan dari 800 sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, ibu penerima, Siti Fatimah Man, 33, berkata, dia bersyukur kerana anaknya, Fatin Syahfiqah Hana Zulkifli, 9, terpi­lih untuk menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada TNB.

“Bantuan ini secara tidak langsung meringankan beban saya dan suami untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk tiga orang anak kami.

“Kini, saya hanya perlu membeli kelengkapan persekolahan anak sulung saya yang memasuki tingkatan satu dan si bongsu ke tahun satu,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.