Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, bantuan diharap­kan dapat mengurangkan serba sedikit bebanan ibu bapa serta keluarga yang perlu membuat persiapan anak mereka pada awal tahun hadapan.

“Sumbangan ini merupakan acara tahunan pihak kami bagi membantu dan meringankan beban go­lo­ngan kurang berkemampuan.

“Lebih RM30,000 diperuntukkan untuk membeli beg sekolah berkualiti bagi memberikan sema­ngat dan dorongan kepada kanak-kanak sekolah terbabit,” kata Mahadzir pada Majlis Pe­nyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Pekarangan Pusat Khidmat Ma­sya­rakat Dewan Undangan Ne­ge­ri Jeneri di sini, semalam.

Sementara itu, Faizah Ishak, 42, dari Kampung Charuk Padang dekat sini melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pemimpin yang amat prihatin dan sentiasa membantu golongan miskin sepertinya.

“Dengan hasil menoreh getah sekitar RM700 sebulan, belanja untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah memang tidak cukup.

“Saya mempunyai tiga anak yang bersekolah dan memerlukan sekurang-kurangnya RM200 seorang untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka,” kata Faizah.

Katanya, bantuan seperti itu amat diharapkan supaya dapat menyediakan kelengkapan persekolahan dan tidak mahu anak-anak tercicir daripada pelajaran.