Ketua Daerah Perikanan Kulim, Nurul Nadia Abdul Rahman berkata, pelepasan benih anak udang itu akan memberi manfaat kepada seramai 63 ahli Koperasi Persatuan Nelayan Darat Mukim Sidam Kanan Berhad di sini, tidak lama lagi.

“Semua benih anak udang ini akan membesar dalam masa enam bulan dari sekarang.

“Penduduk tempatan serta ahli persatuan boleh menangkap­nya dengan pelbagai cara nanti untuk menambah pendapatan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir Ketua Cawa­ngan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan negeri, Khairul Amri Ariffin dan Pegawai Pertanian daerah Kulim, Afifah Ramli.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Azman Nasrudin ketika berucap dalam majlis itu berkata, pihaknya akan mendapatkan satu peruntukan daripada Kementerian Pertanian bagi membina sebuah pusat pendaratan ikan tawar di Kampung Ujang Tanjung di sini.

“Apabila dapat peruntukan itu, pusat pendaratan ikan dapat dibina pada tahun ini atau tahun depan.

“Sebelum benih udang membesar, semua nelayan darat di kawasan ini perlu memastikan tidak ada aktiviti tuba ikan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada anak benih udang itu,” katanya.

Pengerusi persatuan itu, Soaib Bakar berkata, langkah Jaba­tan Perikanan Negeri Kedah melepaskan benih anak udang galah dalam Sungai Muda amat baik sekali dan perlu diteruskan untuk menambah pendapatan nelayan darat.

“Udang galah sebesar empat ekor dengan berat lebih satu kilogram boleh dijual dengan harga kira-kira RM100 manakala yang sederhana dijual RM70 sekilogram,” katanya.