Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sebanyak RM510,000 di­peruntukkan bagi membeli kelengkapan sekolah tersebut.

“Pemberian awal ini adalah untuk memudahkan urusan pemberian tersebut supaya tidak ada pelajar miskin tercicir bagi membolehkan mereka memulakan persekolahan awal tahun hadapan.

“Dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), sebanyak 3,420 set kelengkapan pakaian sekolah diberikan kepada pelajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Penyampaian Sumbangan Zakat Pakaian Seragam Sekolah Peringkat Parlimen Baling di Kuala Ketil di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pemberian awal itu dapat memudahkan pihak pengurusan mengenalpasti pelajar yang layak menerima bantuan namun tercicir daripada senarai penerima bantuan sebelum ini.

“Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Baling dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah akan terus menjejaki pelajar-pelajar miskin dan daif di 60 sekolah untuk menyampaikan sumbangan ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Abdul Azeez memberi­tahu, semua pihak terutamanya Jawatankuasa Kemajuan Dan Ke­se­lamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjasama dalam mengenal pasti pelajar miskin di kawasan masing-masing dan mengemukakan permohonan bagi membantu mereka di kawasan terbabit.

“Pendidikan amat penting untuk mereka dan saya tidak mahu mereka tercicir dalam pembelajaran. Saya akan terus membantu mereka yang memerlukan dan berharap pelajar terbabit lebih maju dan berjaya pada masa depan,” katanya.