Pesawah terbabit mendakwa kelewatan mereka menabur benih padi mengikut jadual yang ditetapkan boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran padi musim ini.

Antara kawasan yang masih belum menerima bekalan benih padi ialah Mukim Tualang, Langgar dan Jabi melibatkan keluasan kira-kira 350 hektar.

Ketua Unit Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kubang Badak, Munir Said berkata, pesawah di kampung tersebut mulai mengeluh kerana mereka lewat menerima benih padi berbanding jadual menabur padi sepatutnya kira-kira tiga minggu lalu.

Katanya, sebanyak 120 hektar sawah di kampung tersebut dibajak untuk kerja-kerja menabur benih padi terpaksa ditangguhkan sehingga bekalan benih padi dibekalkan.

“Jadual penanaman padi di fasa dua ini bermula pada 30 September hingga 28 Oktober tetapi kegagalan Mada membekalkan benih padi sehingga hari ini menyebabkan sawah yang sudah dibajak mulai terbiar hingga ditumbuhi rumput,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan pesawah bagi mendesak bekalan benih padi dihantar segera, di sini hari ini.

Seorang pesawah, Jamaludin Md. Rani, 56, dari Kampung Telok Jamat berkata, kelewatan benih padi itu menyebabkan dia terpaksa membeli benih padi dari kedai supaya sawahnya tidak terbiar selepas kerja membajak dilakukan.

Katanya, pesawah yang membeli benih padi di kilang diwajibkan membeli benih padi CL2 yang lebih mahal walaupun mereka cuma memerlukan padi varieti MR 297.

“Selain itu, harga di kilang juga lebih mahal iaitu RM50 setiap 20 kilogram berbanding benih padi yang dibekalkan MADA hanya RM35 setiap 20 kilogram,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rahimi Abd. Ghani, 52, pula berkata, masalah kelewatan benih padi di sini merupakan kali pertama berlaku dan sebelum ini pesawah menerima bekalan benih padi mengikut jadual.

“Pesawah mengharapkan MADA dapat menjalankan siasatan terhadap masalah yang dihadapi itu supaya ia tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Mada, Mohd. Hafizi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihak pengeluar memaklumkan sebanyak 7,579 tan metrik atau 378, 950 beg benih padi sedang diproses untuk diedarkan kepada pesawah.

Beliau berkata, pembekal memberi komitmen benih padi itu akan memasuki pasaran secara berperingkat sehingga 9 November nanti.

“Pesawah diharap bersabar dan masalah bekalan benih padi ini akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.