Berikutan itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan menyalurkan bekalan tersebut bagi menampung permintaan pengguna di kawasan terbabit.

Ahli Lembaga Pengarah SADA, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, sebanyak 40 buah lori telah digunakan untuk menghantar bekalan air kepada penduduk di situ.

“Langkah ini menunjukkan pihak SADA sentiasa bersedia untuk melakukan apa sahaja yang terbaik bagi menangani perkara itu yang telah lama berlarutan.

“Penghargaan turut diberikan kepada pihak berkaitan di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangar, Melaka dan Terengganu kerana membantu menghantar lori tambahan bagi melakukan kerja-kerja agihan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Status Bekalan Air Kawasan Merbok dan Tanjung Dawai di Pejabat Daerah Kuala Muda di sini, hari ini

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya; Pengurus Kanan Wilayah Tengah SADA, Hizaruddin Razak dan Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Hanisma Ismail.

Menurut Anuar, masalah itu dipercayai berlaku ekoran Loji Rawatan Air Tupah yang beroperasi sejak 1945 tidak dapat berfungsi dengan baik berikutan penambahan kediaman di sekitar Merbok sehingga Tanjung Dawai.

“Kami amat bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut dan kerajaan sedia melakukan apa sahaja yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

“Keperluan air dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai sahaja adalah sebanyak 20 juta liter sehari dan selagi kerja-kerja menaik taraf loji air di Bukit Selambau dan Tupah tidak dibaiki, pelbagai masalah akan timbul pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di Tanjang Dawai supaya bersabar tanpa mengambil sikap protes dengan sewenang-wenangnya kerana kes itu bukan baharu berlaku sebaliknya sejak kira-kira 20 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE