Pengerusi Jawatankuasa Pene­rangan, Pembangunan Luar Ban­dar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, RISDA bergerak maju ke hadapan untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam usaha membantu masyarakat pekebun kecil.

“Sebanyak RM86,000 diperuntukkan bagi membantu pekebun kecil seperti Skim Bantuan OKU (enam orang), Skim Bantuan Pelajaran (13 peserta), Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil RISDA (lima peserta) dan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah (309 pelajar) di daerah ini dan Pendang juga akan mendapat peruntukan sama.

“Segala bentuk bantuan ini adalah untuk membantu rakyat dan meringankan beban kewa­ngan pekebun kecil getah ketika musim tengkujuh dan musim ba­haru persekolahan,” katanya da­lam Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Sumbangan Peringkat RISDA di Dewan Al-Hana, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah RISDA negeri, Ramlie Tumin.

Menurutnya, Yayasan RISDA ditubuhkan untuk mengurus, mentadbir dana untuk faedah, kebajikan pekebun kecil serta warga RISDA termasuk keluarga terdekat masing-masing.

“Pelbagai transformasi dilakukan RISDA melalui Program pembangunan yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil.

“Jika dahulu kita hanya me­ngenali RISDA sebagai agensi pe­nanaman semula getah tetapi pada hari ini, ia semakin maju ke hadapan untuk memberi perkhid­matan terbaik kepada pekebun kecil,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan OKU, Aminah Ismail, 29, dari Kampung Batu Besar berkata, dia amat gembira apabila dipilih menerima sumbangan sebanyak RM500 daripada yayasan itu.