Produk yang mendapat kelulusan Lembaga Racun Makhluk Perosak di bawah Jabatan Pertanian dengan menggunakan beberapa bahan aktif itu kini boleh didapati petani yang turut diyakini dapat membantu mereka menambahbaik pengurusan pe­rosak pada tanaman padi dan meningkatkan hasil tanaman.

Pengurus Perniagaan Corteva Agrisciences Malaysia, Tay Chee How berkata, produk pertama yang menggunakan bahan aktif triflumezopyrim digunakan bagi kawalan bena perang yang dapat meningkatkan produkti­viti petani melalui penggunaan hanya sekali semusim berban­ding praktis semasa iaitu dua hingga tiga aplikasi semusim.

“Ini dapat menjimatkan kos tenaga buruh serta menjimatkan masa yang digunakan bagi kawalan bena perang.

“Manakala, produk kedua yang menggunakan gabungan bahan aktif spinetoram dan methoxyfenozide pula memberi alternatif kepada petani untuk mengurus ulat pengorek batang yang rintang terhadap kebanyakan kimia ter­utamanya diamide yang terdapat di pasaran kini,” katanya ketika majlis pelancaran kedua-dua produk itu di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi G-Planter, Fikhri Abd. Rahman.

Corteva Agrisciences yang merupakan gabungan kekuatan DuPont Pioneer, DuPont Crop Protection dan Dow AgroSciences­ menawarkan kepada peladang dan petani di seluruh dunia de­ngan portfolio yang paling lengkap dalam industri termasuk beberapa jenama yang terkenal dalam bidang pertanian seperti Pio­neer, Encirca dan Bibit Brevant.

Katanya, campuran kedua-dua bahan aktif itu mampu me­ngawal larva dan telur dengan mudah selain membantu mengelakkan kekeliruan petani terhadap racun yang perlu digunakan.

“Corteva Agrisciences amat komited untuk membawa inovasi pertanian terutamanya mela­lui pengurusan makhluk perosak yang seterusnya menyumbang kepada revolusi industri pertanian di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee How berkata, produk yang menggunakan bahan aktif triflumezopyrim berkenaan sangat berkesan untuk mengawal populasi bena perang pada kadar penggunaan yang rendah iaitu hanya 240 mililiter untuk setiap hektar.