Mereka diarahkan berpindah serta-merta ke terminal lama yang terletak berhampiran kawasan tersebut dengan tidak mengadakan sebarang rundingan antara kedua-dua pihak sebelum itu.

Pekerja terbabit memaklumkan, mereka hanya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui kain rentang yang dipasang syarikat berkenaan bagi memaklumkan mengenai operasi di pusat jualan tiket itu bakal berpindah.

Wakil kumpulan itu, Muhamad Qusyairy Sahat berkata, terminal bas lama tersebut didapati tidak mempunyai kemudahan yang baik selain pemindahan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan mereka.

“Pihak berkenaan hanya memasang kain rentang memaklumkan mengenai terminal bas itu akan ditutup pada hari ini dan perlu berpindah ke tapak lama berhampiran lokasi sekarang.

"Bila tidak di ajak berbincang, inilah jadinya, di tapak lama pula tidak ada sebarang kemudahan, sepatutnya pihak terbabit lebih prihatin dalam menangani perkara-perkara seumpama ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, mereka telah membuat laporan polis berhubung isu itu dan bercadang untuk bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas ini.

Seorang pekerja, Siti Sabehah Othman, 56, pula berkata, jika ada masalah, perlu diadakan perbincangan bukan mengambil tindakan seperti ini.

“Saya menjadi pekerja jualan tiket bas ekspres di Sungai Petani ini selama 39 tahun dan tindakan ini dilihat sangat tidak wajar. Adakah patut, hanya gantung kain rentang dalam memaklumkan perkara penting (perpindahan) seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Operasi syarikat tersebut, Zulkarnian Mahamad ketika ditemui berkata, pihaknya terpaksa akur dengan arahan kerajaan negeri yang meminta semua ejen daripada syarikat bas mengosongkan ruangan terminal itu bagi memastikan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) dapat beroperasi pada 1 April depan. 

Katanya, pihak syarikat akan menyediakan beberapa kemudahan di tapak sementara kepada ejen syarikat bas terbabit mengikut keperluan daripada masa ke semasa.- UTUSAN ONLINE