Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, projek PPR itu mendapat kelulusan kerajaan dengan pembinaan fasa pertama membabitkan 500 unit rumah teres tiga bilik dengan harga di bawah RM35,000 seunit.

“Kita sudah mendapat semua kelulusan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pembinaan akan bermula hujung tahun ini di kawasan yang dikenal pasti iaitu di Gua Reban, Charok Sikin,” katanya dalam maj­lis Penyerahan Elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK Daerah di Dewan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Pegawai Daerah, Datuk Shuhaimi Abdul Rahman.

Menurutnya, projek berkenaan mengutamakan golongan muda yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan memberi peluang kepada mereka memiliki rumah sendiri.

Katanya, ia juga mengelakkan penghijrahan golongan tersebut ke daerah-daerah luar dan ber­upaya mencari pekerjaan di kawasan sendiri.

“Saya juga akan berusaha mendirikan beberapa buah kilang di daerah ini sebagai tempat golongan tersebut mencari rezeki.

“Saya berusaha menarik pe­labur untuk membina beberapa kilang berkaitan pertanian di daerah ini dalam masa terdekat,” katanya.