Namun terdapat sebuah lagi acara yang julung kali melibatkan pelumba amatur telah diadakan di situ baru-baru ini iaitu PDRM Exploride Langkawi 2019, yang juga tidak kurang hebatnya.

Maka tidak hairan apabila PDRM Exploride Langkawi 2019, hasil inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini berjaya menarik penyertaan se­ra­mai 1,000 orang peserta yang berkayuh santai mengelilingi pulau pelancongan itu.

Terdapat dua kategori dise­diakan kepada peserta iaitu acara kayuhan sejauh 35 kilometer dan 55 kilometer yang disertai anggota beruniform itu dan ma­syarakat setempat termasuk da­ri beberapa buah negeri lain.

Ketua Polis daerah, Superin­tenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, selain kayuhan basikal, acara yang berlangsung selama sehari itu turut melibatkan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan t-baton oleh anggota polis, persembahan pan­caragam polis dan zumba.

Malah ujar beliau, PDRM Exploride Langkawi yang julung-julung kali dianjurkan bersama Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) berpotensi untuk dijadikan acara pelancongan serta dimasukkan dalam kalendar aktiviti pulau peranginan ini.

“Tujuan lain penganjuran acara santai ini adalah untuk mendekatkan diri antara polis dan orang awam bagi merapatkan hubungan silaturahim serta mengenali antara satu sama lain.

“Kami bercadang untuk menjadikan acara ini sebagai aktiviti tahunan berikutan mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ke­tua Polis negeri, Datuk Abd. Rahim Jaafar yang turut berkayuh sejauh 55 kilometer,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd. Iqbal, ujian saringan kesihatan dan kempen derma darah serta kaunter khas bayaran saman trafik yang menawarkan potongan sehingga 50 peratus turut disediakan.

“Kami berjaya mengutip sejumlah RM238,070 yang melibatkan bayaran 2,079 saman daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun itu. Sambutan diterima luar biasa sehingga kaunter bayaran saman sesak,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa hadiah menarik bagi acara ca­butan bertuah seperti sebuah motosikal, basikal, tiket penerbangan dan penginapan bertaraf lima bintang di hotel-hotel di pulau itu turut diadakan.