Namun, bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang baharu, Datuk Mohamad Yasid Bidin, itulah cabaran yang perlu dihadapi dan visi serta misinya bagi mengubah persepsi masyarakat.

Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI SAINUDDIN bersama jurugambar IZHAM JAAFAR berkesempatan menemu bual beliau di pejabatnya baru-baru ini untuk berkongsi pandangannya tentang bandar diraja ini.

UTUSAN: Boleh kongsikan sedikit perasaan Datuk selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang yang baharu?

MOHAMAD YASID: Saya terharu kerana mendapat satu pekerjaan yang mencabar berikutan daerah Klang merupakan satu kawasan yang besar iaitu antara terbesar di Malaysia dan sama besar dengan Singapura.

Daerah Klang juga dianggarkan memiliki sebanyak 1.3 juta penduduk tidak termasuk pendatang yang turut didiami oleh golongan orang kehormat (VVIP). Di bandar Klang pula terdapat Istana Alam Shah yang mana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah se­ring turun ke sini.

Namun, saya berani menyahut cabaran ini kerana saya yakin dengan pengalaman menjadi Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor dan pernah menjadi pegawai daerah, saya mampu memikul tanggungjawab ini.

Bagaimana Datuk melihat 
ke­­majuan Klang?

Klang mempunyai potensi besar menjadi lebih maju kerana kedudukannya yang strategik. Di sini, kita ada pelabuhan dan terletak berhampiran dengan ibu negara serta pusat pentadbiran Putrajaya.Daerah ini juga mempunyai beberapa lokasi pelancongan seperti Pulau Ketam yang menawarkan pengalaman suasana kehidupan masyarakat nelayan kaum Cina selain Little of India di Jalan Tengku Kelana dan Galeri Diraja.

Selain itu Pulau Indah yang dijadikan sebagai hab industri di negeri ini turut berpotensi menarik pelabur luar.

Selain bandar Diraja, Klang juga antara bandar tertua di negara ini. Apa cabaran utama untuk mentadbir?

Klang dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk yang tinggal di kawasan perbandaran dan di kawasan kampung. Ini menyebabkan permintaan penduduk berbeza-beza dan sukar dipenuhi. Klang juga adalah sebuah bandar lama yang dahulunya dibina tanpa perancangan sekali gus menyebabkannya tidak dapat mengikuti peredaran zaman. Kemudahan infrastruktur lama, kawasan pula terhad. Orang ramai juga masih mempunyai persepsi negatif yang mana mereka masih menganggap bandar ini sebagai kotor dan tidak selamat.

Bagaimana Datuk menghadapi cabaran ini?

Persepsi orang ramai menganggap Klang sebuah bandar yang kotor dan tidak selamat akan diubah. Saya mahu Klang menjadi sebuah bandar yang bersih dan selamat secara keseluruhannya, tidak ada aedes dan tikus. Sistem pencahayaan pada waktu malam turut akan diperbaiki dengan memasang lebih banyak lampu yang cantik. Landskap yang indah juga menjadi keutamaan kita dan buktinya kita telah mengeluarkan peruntukan untuk menanam pokok.

Sebanyak 35 peratus daripada RM200 juta bajet kita pada tahun ini juga diperuntukan untuk memastikan Klang bersih dan saya sendiri akan turun padang. Tumpuan kita ialah pasar basah, pasar malam, kawasan bandar dan pekan utama. Kempen dan dialog bersama penduduk juga akan diadakan untuk mendidik mereka kerana bagi saya denda bukanlah penyelesaiannya.

Bagaimana pula dengan Su­ngai Klang yang sering dicemari sampah sarap dan bahan buangan?

Sungai Klang melibatkan satu kawasan yang panjang dan dikongsi bersama Selayang, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Bagi kawasan kita, MPK tidak membenarkan mana-mana kilang dibina di kawasan berhampiran sungai itu. Ini adalah untuk memastikan Sungai Klang tidak menjadi tempat pembuangan sisa kilang. Skuad Pantas juga telah ditubuhkan untuk memastikan orang ramai tidak membuang sampah ke dalam sungai terbabit.

Selain itu, kita juga mempunyai renjer sungai melibatkan kerjasama antara MPK dan penduduk yang mengawasi Sungai Klang. kawasan di sepanjang Sungai Klang juga akan diperindahkan supaya menjadi tarikan pelancong.

Sistem perparitan tidak diurus dengan baik punca banjir kilat 
di daerah ini. Pandangan Datuk?

Banjir kilat yang sering berlaku di daerah ini bukanlah disebabkan masalah perparitan. Klang sebenarnya berada 1.2 meter di bawah paras laut. Parit yang dibina memang terancang tetapi jika hujan lebat berlaku ketika air laut pasang, kunci air laut terpaksa ditutup menyebabkan air sungai tidak dapat mengalir ke laut sehinggalah air laut surut dan kunci air laut dibuka. Ini punca utama banjir di daerah ini dan langkah drastik kita ambil ialah membesarkan sistem pengairan. Apa pun sistem perparitan adalah di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

Bagaimana pula dengan ma­sa­lah pembuangan sampah haram 
di daerah ini?

Setakat ini, lokasi pembuangan sampah haram telah berkurang dan hanya berlaku di tempat-tempat terpencil. Aduan berhubung pembuangan sampah secara haram juga menurun iaitu hampir 30 peratus. Ini kerana intipan, tangkapan serta penyitaan telah banyak dibuat untuk memberi pengajaran kepada pelaku. Lori yang didapati melakukan aktiviti pembuangan sampah secara haram akan disita dan hanya akan dilepaskan setelah semua kompaun tunggakan dibayar. Sejak Jun tahun lalu, sebanyak 50 buah lori disita dan lokasi pembuangan sampah haram kini hanya tertumpu di kawasan Jalan Kebun Nanas.