Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Mara, Suriah Jemaat berkata, ini terbukti apabila sambutan yang diterima pada hari terakhir daripada pengunjung terus hangat malah mereka sanggup menunggu se­awal pukul 8.30 pagi biarpun acara bermula pada pukul 10 pagi.

Justeru, beliau berkata, pi­haknya berharap akan mendapat sambutan serupa apabila karnival tersebut diteruskan di Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 Mac ini.

“Kita juga berasa sangat berbangga walaupun karnival ini berlangsung sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar tetapi kehadiran pengunjung amat menggalakkan.

“Pengunjung bukan sahaja terdiri daripada pelajar dan guru tetapi juga lepasan sekolah yang hadir bersama ibu bapa mereka.

“Karnival Pendidikan Mara sudah menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu bagi mengetahui peluang dalam bidang akademik dan kemahiran serta pembiayaan dan penajaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suriah berkata, selain 62 gerai pempamer dari institusi pendidikan awam dan swasta termasuk Institusi Pendidikan Mara (IPMa), pihak Mara turut membuka gerai Bahagian Kawalan Kredit untuk kemudahan pe­minjam men­yemak baki pinjaman dan nama dalam senarai hitam.

Menurutnya, pihaknya ber­kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk menjayakan karnival dua hari itu iaitu Kumpulan Utusan, Kelantan FM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPN).

Sementara itu, guru kaunseling, Hamdan Jusoh, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tum­pat berkata, penganjuran karnival berkenaan penting untuk pendedahan kepada pelajar.

“Pelajar selalu menganggap peluang mereka menyambung pengajian hanya di universiti awam sedangkan institusi pendidikan swasta termasuk kendalian anak syarikat Mara juga menyediakan peluang sama.

“Melalui karnival seperti ini pelajar mendapat pendedahan awal termasuk peluang belajar di institusi kemahiran beserta faedah yang boleh diperoleh,” katanya.