Kadar diskaun sebanyak RM30 diberikan bagi kesalahan tempat letak kereta bermeter dan kende­raan motosikal, RM50 bagi kereta dan RM100 untuk kenderaan berat seperti lori, van dan jentera berat lain.

Jika dicongak dari segi untung rugi, diskaun yang ditawarkan cukup berbaloi, berbanding sebelum ini mereka terpaksa membayar antara RM100 hingga RM300.

Berdasarkan rekod DBKL, sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah 1,018 notis berjumlah RM41,910 telah dilaksanakan di Kaunter Pos Malaysia dan 2,185 notis bernilai RM87,660 dilaksanakan melalui MyEG.

Walaupun jumlah tersebut me­nunjukkan kesedaran mengenai tanggungjawab melunaskan kompaun tertunggak, jumlah itu masih belum boleh dibanggakan lagi.

Sikap suka bertangguh dalam kalangan masyarakat dilihat terus menjadi amalan biasa, lebih-lebih lagi melibatkan pembayaran tunggakan saman.

Pelbagai alasan diberi antaranya, kesibukan kerja, tempoh tawaran masih panjang dan sebagainya.

Mungkin ada yang tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu mengenai tindakan drastik yang diambil DBKL kepada pesalah trafik yang masih berdegil dan ingkar ini.

Ini termasuk menyenaraihitamkan mereka daripada membuat urusan seperti memperbaharui cukai jalan, lesen memandu serta menukar hak milik kenderaan .

Jika sebelum ini warga kota memandang mudah setiap tindakan penguatkuasaan lebih-lebih lagi DBKL, kali ini lupakan sahaja.

Tindakan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang ingkar ini turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengikut rekod DBKL , sehingga Ogos tahun ini sebanyak 2,580 buah kenderaan sudah disenarai hitam oleh JPJ kerana pemiliknya gagal menyelesaikan kompaun yang dikeluarkan oleh DBKL.

Penulis percaya, malas dan sikap suka bertangguh ini bukan sahaja menjadi amalan terutama dalam melaksanakan tanggungjawab membayar saman tertunggak, bahkan dalam lain-lain hal.

Ini termasuk persiapan membeli barangan kelengkapan sekolah, perayaan dan sebagainya.

Mereka lebih rela beratur panjang dan bersesak-sesak di kaunter atau pusat beli-belah di saat-saat akhir.

Bukanlah satu kesalahan besar jika seseorang itu melakukan sesuatu di saat-saat akhir, tetapi harus diingat kesan kemudiannya.

Jika sikap itu menjadi terus menjadi amalan, ia lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

Kepada pesalah trafik di ibu kota, gunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin.

Tawaran sehingga 31 Disember ini hanya sekali dalam tempoh setahun.

Jika ada yang memberi alasan sibuk bekerja, malas beratur panjang, lupakan sahaja. Ini kerana bayaran tunggakan kompaun itu boleh dibuat secara atas talian menerusi laman portal MyEG.

Jangan kita kalut di saat akhir, kerana semua itu hanya merugikan diri sendiri.