Penguatkuasaan itu adalah antara usaha Kementerian Ke­sihatan untuk memastikan tempat tumpuan ramai itu bebas asap rokok selain mengekang tabiat merokok di lokasi awam.

Sebelum ini lebih 20 kawasan antaranya bangunan ke­rajaan, pusat beli-belah, hentian rawat dan rehat (R & R) dan restoran berhawa dingin telah diwartakan sebagai zon larangan seumpama itu.

Walaupun kita menyambut baik usaha mewartakan kawasan larangan merokok dan mengenakan denda, namun bukanlah mengejutkan sekiranya peraturan itu diambil mudah oleh mereka.

Banyak kawasan yang diwartakan sebelum ini juga bukan 100 peratus bebas asap rokok malah ramai yang berani memenuhi tuntutan ketagihan mereka tanpa rasa bersalah di zon larangan berkenaan.

Contohnya semasa penulis singgah di R&R Seremban baru-baru ini, ada yang tanpa segan silu melanggar peraturan itu walaupun terdapat papan tanda larangan merokok di kawasan berkenaan.

Bukan mudah menegur kaki rokok apa lagi jika mereka duduk secara berkumpulan dan sedang seronok merokok secara ‘berjemaah.’

Kebanyakan perokok sememangnya dikenali sebagai golongan berani mati kerana banyak bukti keburukan tabiat itu dilaporkan namun belum cukup menggerunkan mereka.

“Orang yang tak hisap rokok pun mati awal.” Itu antara ayat popular perokok untuk mewajarkan tabiat buruk mereka.

Hujah dari segi kesihatan serta perspektif agama juga tidak berkesan untuk memberi kesedaran.

Kerajaan juga melakukan banyak kempen kesedaran dan pendidikan yang menelan kos besar, tetapi jumlah pe-rokok tidak berkurangan sebaliknya kita boleh lihat tabiat itu semakin bertambah dalam kalangan pelajar sekolah.

Hanya peraturan keras dapat membendung tabiat itu dan pe­nguatkuasaan pula mesti dibuat bersungguh-sungguh dan bukannya suam-suam kuku.

Masyarakat perlu menanam sikap bahawa merokok bukan lagi tabiat biasa yang perlu kita bertoleransi. Perokok adalah golongan yang mengalami masalah ketagihan dan kebergantungan terhadap nikotin atas pilihan mereka sendiri.

Merokok di kawasan awam sehingga mengganggu dan menjejaskan orang lain bukan lagi hak mutlak mereka.

Perokok tidak boleh terus mendapat keistimewaan mencucuh rokok dan menghembuskan asap sesuka hati ke muka orang lain seperti sebelum ini.

Sudah-sudahlah merokok, kalau nak juga merokok pergi jauh-jauh.