Pengembaraan selama tiga jam ke puncak dilihat benar-benar menduga kesabaran dan kekuatan peserta berdepan halangan semula jadi yang terdapat di kawasan pergunungan itu.

Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Baling, Ahmad Shokri Hamid berkata, misi pendakian dan ekspedisi anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kolej itu untuk menawan puncak gunung ini bukanlah mudah.

“Peserta perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi rintangan dan kesukaran bentuk muka bumi yang curam untuk tiba di destinasi.

“Saya berharap lebih ramai kakitangan kolej dan pelajar dapat merancang aktiviti berbentuk jati diri seperti Ekspedisi Cabaran Mendaki Gunung ini bagi menaikkan lagi nama pelajar dan kolej,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semangat kerjasama tinggi peserta mendorong untuk menawan semua puncak gunung tersebut di samping mempromosi aktiviti sihat dalam kalangan kakita­ngan.

Sementara itu, seorang peserta, Nadhirah Mansor berkata, pelbagai halangan termasuk kecerunan hampir 45 darjah selain laluan batu-batuan dan akar kayu bersaiz besar yang melambatkan pergerakan pendaki sekali gus menguji kesabaran, ketahanan mental dan fizikal.

“Ada dalam kalangan peserta memiliki stamina tinggi dan mereka sampai ke puncak dalam tempoh sejam setengah, tetapi ada juga mengambil masa tiga jam,” katanya.

Rakannya, Nazatul Islah berkata, ekspedisi itu turut membantu merapatkan hubung­an antara satu sama lain selain dapat berfikiran positif untuk menawan puncak.

“Aktiviti seperti ini juga dapat mendekatkan golongan muda dengan alam sekitar, sekali gus mengajar mereka untuk lebih menghargai alam.

“Ramai rakan saya tiba puncak, oleh itu saya bertekad untuk menawannya walaupun mengambil masa agak lama. Akhirnya saya berjaya tiba di puncak selepas harungi pelbagai cabaran ketika mendaki,” katanya.