Penyelaras projek, Dr. Nowrozy Kamar Jahan berkata, projek dengan kerjasama Monash University yang julung kali diadakan di negara ini turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Hospital Daerah Segamat, klinik-klinik kesihatan dan swasta terpilih di daerah ini.

“Tujuan utama kajian adalah untuk memahami bagaimana jangkitan virus denggi ini berkembang di dalam badan seseorang dan pada masa sama menyiasat interaksi di antara virus denggi, nyamuk dan manusia di sini.

“Kampung Abdullah, Kampung Jawa dan Taman Segar dipilih dalam kajian ini kerana kawasan tersebut dikenal pasti sebagai titik panas denggi. Jumlah kes denggi di daerah ini juga meningkat daripada 74 kes pada tahun 2013 kepada 192 kes pada tahun 2014,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Nowrozy, sebanyak 1,200 responden berjaya dikumpulkan Pusat Kajian Komuniti Asia Tenggara (Seaco) melalui rumah ke rumah dan menjangkakan sebanyak 400 sampel darah akan diambil daripada peserta aktif di masa akan datang.

Katanya, agak sukar untuk mengenal pasti sesiapa yang dijangkiti virus denggi ini tanpa mengambil sampel darah kerana tanda-tanda demam denggi seseorang itu berbeza mengikut sistem imunisasi.

“Peringkat awal kajian, sebanyak 10 mililiter darah dan sampel genetik akan diambil dari para peserta yang memenuhi kriteria pemilihan dan bersetuju untuk mengambil bahagian dalam kajian ini di mana peserta yang mengalami demam panas akan terus dirujuk ke unit kecemasan.

Tambahnya, semua peserta juga akan diberikan kad pengenalan khas projek dan mereka perlu menunjukkan kad tersebut semasa pergi mendapatkan rawatan ke hospital atau klinik-klinik kesihatan kerajaan dan swasta yang terlibat.

“Sampel-sampel darah peserta akan dihantar ke makmal khas Monash University dan kajian ini penting kerana pencegahan awal demam denggi adalah perlu sebelum virus berkenaan merebak sehingga mengakibatkan kematian.

“Kajian yang dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga April tahun hadapan ini sedikit sebanyak akan membantu kerajaan mengurangkan kes denggi dan kajian yang serupa juga akan dilakukan di Selangor selepas ini,” katanya.