Difahamkan, berdasarkan kepada kadar purata peratusan penginapan yang diperoleh, jumlah pelancong menurun 5.4 peratus kepada 1.186 juta orang berbanding 1.251 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Namun penurunan yang amat sedikit dalam suasana ekonomi suram dan politik global tidak menentu menunjukkan keberkesanan strategi promosi oleh kerajaan negeri dengan memberikan impak positif kepada pengekalan purata peratusan penginapan di hotel dan resort.

Dalam keadaan sedemikian, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yakin jumlah pelancong pada tahun ini mampu mencapai sasaran awal 5.5 juta yang ditetapkan.

“Kita tidak letak sasaran tinggi sangat dalamn keadaan ekonomi semasa yang menyebabkan pelancong mengalami penurunan. Negeri-negeri lain juga mengalami masalah yang sama.

“Selain pelancong domestik, fokus kita untuk menarik pelancong dari China dan Singapura,” ujarnya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Pelancongan negeri di sini petang semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abduk Rahman bersama hli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengarah Jabatan Pelancongan, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau menarik perhatian, kerajaan berusaha mempelbagaikan tarikan dan taburan pelancong agar tidak terarah kepada pulau-pulau tetapi juga di bandar raya Kuala Terengganu serta Tasik Kenyir.

“Sekarang ini kita akan memberi tumpuan kepada Kenyir sebagai Tasik Bebas Cukai yang dijangka beroperasi bulan September depan,” ujar beliau.

Katanya, Kenyir sedang diperkukuhkan sebagai destinasi eko pelancongan terunggul di rantau ini dengan tarikan-tarikan seperti satuari kelah, perkampu­ngan gajah, taman orkid, taman herba dan taman air.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri bercadang memperkenalkan beca elektrik mengantikan beca tradisional bagi mewarnai wajah dan suasana bandar raya ini.

Menurut beliau, sebagai percubaan, sebanyak empat buah pengangkutan itu setiap satu berharga RM10,000 , berciri lebih menarik dan selamat akan bero­perasi.