Pengarah Penjara negeri, Datuk Ab. Basir Mohamed berkata, jualan itu melebihi sasaran tahun lalu sebanyak RM380,000.

Beliau berkata, seramai 70 banduan dari Penjara Penor dan 60 banduan dari Penjara Bentong mempunyai kemahiran tenunan dan hasil tangan mereka adalah antara yang berkualiti tinggi.

“Kain Tenun Diraja Pahang yang dihasilkan bukanlah bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya mendidik banduan tersebut erti kesabaran, ketekunan dan ketelitian setiap kali melakukan proses menenun,” katanya kepada pemberi­ta selepas Majlis Sambutan Hari Penjara peringkat negeri di Penjara Penor di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 188 anggota, pegawai dan penjawat awam di Jabatan Penjara negeri menerima pingat serta sijil penghargaan.

Menurut Ab. Basir, pada tahun lepas, sebanyak 250 pasang Tenun Diraja Pahang dibeli oleh kerabat Diraja Denmark.

“Malah, kebanyakan majlis-majlis rasmi negara juga memakai pakaian daripada hasil tenunan banduan di penjara ini. Ban­duan-banduan yang terlibat harus diberikan sokongan memandangkan pada ketika ini mereka sedang berusaha menukar arus kehidupan ke arah lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah banduan yang sedang menjalani hukuman di negeri ini adalah seramai 4,700 orang iaitu di Penjara Bentong, Penjara Penor dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Banduan Kem Batu 10, di sini.