Pengarah Perikanan negeri, Zamani Omar berkata, pameran dan pertandingan yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kelab Ikan Betta Johor itu akan diadakan di Mydin Mall Mutiara Rini, di sini dan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed.

“Penyertaan yang kita terima setakat ini memang luar biasa kerana penyertaan bukan sahaja dari Malaysia, malah Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, Amerika Syarikat, Vietnam, China dan Taiwan.

“Malah, jumlah peserta mungkin akan meningkat memandangkan penyertaan masih dibuka hingga 19 April ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Jabatan Perikanan negeri, di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Zamani berkata, pihaknya menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari pameran diadakan kerana mereka bukan sahaja berpeluang melihat pameran ikan hiasan serta pertandingan ikan gapi dan betta, malah menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

“Johor selaku negeri pengeluar utama ikan hiasan dan tumbuhan akuatik sentiasa berusaha mempromosi industri ini kepada umum dan pameran ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk memperkenalkan kepada orang ramai mengenai spesies ikan hiasan dan tumbuhan akuatik yang terdapat di negeri ini. - UTUSAN ONLINE