Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif kerajaan negeri menerusi skim bantuan pendaftaran YPJ secara tidak langsung dapat meringankan beban kewangan ibu bapa selain memberi peluang kepada anak Johor memulakan pengajian di universiti awam.

Katanya, bantuan tersebut merangkumi wang tunai mene­rusi Electronic Fund Transfer berjumlah RM500 bagi pelajar yang mengikuti pengajian di pering­kat Diploma manakala RM750 bagi Ijazah Sarjana Muda.

“Bagi kerajaan negeri, usaha ini adalah untuk membantu anak-anak kita dalam memberi tum­puan sepenuhnya kepada pembelajaran sepanjang berada di universiti.

“Untuk tahun ini sahaja, YPJ memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan pelbagai program mengupayakan pelajar termasuk Jauhar Youth Leadership Camp, Biasiswa Sukan Atlet Johor, Tabung Latihan Kemahiran Johor dan Duta Jauhar,” katanya.

Beliau berucap dalam program Penyampaian Bantuan Pen­daftaran YPJ Parimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Permas Jaya, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan.

Beliau berharap masyarakat dapat menghayati dan memahami bukan sahaja dalam soal kerajaan negeri memastikan anak-anak berpendidikan, berilmu malah mempunyai kemahiran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, Johor yang sedang pesat membangun memerlukan persedia­an daripada semua pihak supaya manfaat akan dapat diperoleh.

“Kerajaan negeri melihat kepada soal memberi ilmu, pendidikan dan kemahiran. Apabila anak-anak ini mempunyai semua itu, mereka boleh mengambil peluang yang wujud, yang lahir dari­pada pertumbuhan dan kepesatan ekonomi di negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah banyak kali menyatakan bahawa tumpuan pertama ekonomi di Johor ialah peluang pekerjaan terutama untuk orang Johor.

“Tapi kalau orang Johor tidak menyiapkan diri, orang luar yang akan merebut peluang terbabit, termasuk mencari pekerjaan yang lahir daripada pertumbuhan ekonomi di Johor,” katanya.