Mereka berharap kerajaan dapat membantu mereka yang semakin terhimpit ketika ini kerana pendapatan merosot hingga 50 peratus iaitu hanya sekitar RM500 sebulan.

Seorang penoreh, Norman Haron, 41, kejatuhan harga getah di bawah RM2 selain hasil getah semakin berkurangan disebabkan pelbagai faktor antaranya cuaca tidak menentu memberi kesan terhadap kehidupan.

“Kami akui terdapat bantuan kejatuhan harga getah serta ban­tuan musim tengkujuh sebelum ini, namun tidak banyak membantu kerana hanya pemilik kebun yang layak untuk memohon bantuan itu dan bukannya penoreh yang mengambil upah mengerjakan kebun penduduk kampung.

“Dengan penghasilan kebun yang semakin merosot disebabkan penyakit daun luruh dan cuaca serta harga pasaran yang rendah, kami sebenarnya berada di bawah paras kemiskinan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dia yang mengambil upah mengerjakan kebun penduduk kampung seluas 1.5 hektar selepas kebun getahnya di tanam semula hanya mampu meraih pendapatan bawah RM500 sebulan yang jauh daripada mencukupi untuk menyara lima ahli keluarga.

Bagi Khamis Sar, 62, dari Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong turut mengakui nasib penoreh getah perlu pembelaan daripada kerajaan kerana pendapatan hasil mengambil upah menoreh getah sudah tidak mampu menyara keluarga.

Dia yang juga mengambil upah mengusahakan kebun penduduk kampung terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Menurutnya, jika golongan nelayan termasuk nelayan darat diberikan elaun sara hidup dan pelbagai bantuan peralatan, me­ngapa bantuan serupa tidak boleh diberikan kepada penoreh.

Bagi Mohd. Azman Miskam, 55, pula, kehidupan penoreh getah ketika ini tidak lebih seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang yang tidak sepatutnya berlaku ketika menuju sebuah negara berpendapatan tinggi tidak lama lagi.

“Kami sedar keluhan kami ha­nya mengundang pandangan serong golongan tertentu yang tidak pernah merasai apa kami alami dan yang paling menyedihkan kami dituduh sebagai pemalas.

“Namun apakan daya, inilah hakikat yang terpaksa kami lalui dan terpaksa menoreh sehingga tiga kebun sehari semata-mata mahu menambah pendapatan. Saya harap kerajaan dapat memikirkan langkah terbaik bagi membela nasib kami,” katanya.