Abdullah Simur, 75, berkata, isterinya, Salbiah Amri, 75, berlepas ke tanah suci ditemani anak kedua mereka, Salmiah, 52, menaiki penerbangan XY02B dari Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai lalu.

“Mereka sepatutnya pulang pada 9 September lalu, namun ditanguhkan pada 18 September kerana isteri saya tidak sihat pada 3 September dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Faisal kerana jangkitan kuman dalam paru-parunya.

“Sepanjang tempoh dia dira­wat, saya tidak berpeluang bercakap dengannya dan hanya me­ngetahui keadaanya menerusi anak. Saya berasa sedikit terkilan tidak berpeluang menjaganya ketika dia sedang sakit,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH), Tan Sri Mohamad Aziz yang turut menyampaikan sumbangan khairat kematian, air zam-zam dan kurma kepada keluarga, di sini semalam.

Lima anaknya telah menge­tahui lebih awal berita sedih tersebut, namun tidak memaklumkan kepadanya kerana bimbang kesihatannya terganggu memandang­kan dia tinggal seorang diri sepanjang tempoh isterinya berada di Tanah Suci.

Dia hanya dinaklumkan pe­mergian isterinya selepas anak-anaknya balik pada 18 September lalu dan reda dengan takdir isteri­nya meninggal di Mekah apatah lagi selepas selesai mengerjakan rukun haji.

“Memang saya rasa kehila­ngan kerana kami sudah hidup bersama-sama selama 54 tahun dan dia merupakan isteri yang tabah terutamanya ketika membangunkan kebun semasa mula bergelar peneroka Felda dahulu.

“Saya akan sentiasa mengi­ngati pengorbanannya membantu melakukan kerja-kerja ladang termasuk menoreh getah suatu ketika dahulu dan wang yang diterima ini akan saya gunakan untuk mengadakan majlis tahlil untuknya,” katanya.