Mohamed Kahar, 78, dan isterinya, Manis Lobak, 76, tidak mampu melakukan sebarang kerja rumah dan hanya terlantar selepas diserang penyakit strok serta saraf kira-kira setahun lalu.

Bertambah malang apabila pasangan tersebut tinggal dalam rumahnya yang uzur dan setiap kali hujan terpaksa menggunakan baldi dan besen untuk menadah air.

Kini Mohamed yang mengambil alih tugas menguruskan hal rumahtangga termasuk memasak kerana mereka tinggal berdua sahaja di rumah itu.

Menurut Mohamed, walaupun tidak larat, dia terpaksa mengangkat isteri ke bilik air untuk mandi selain terpaksa membelanjakan kira-kira RM500 sebulan untuk keperluan Manis termasuk ubat-ubatan dan lampin pakai buang.

“Bahu pakcik sampai bengkak sebab angkat makcik dan tak sangka pula kami diserang pe­nyakit ini secara serentak dan sebelum ini kami berdua memang berdikari sendiri dan tak mahu harapkan anak-anak.

“Sebenarnya saya pun tidak berapa sihat kerana tidak boleh berdiri dan berjalan terlalu lama kerana diserang penyakit saraf serta lebih banyak menggunakan kerusi roda untuk bergerak dalam rumah.

“Buat masa ini saya tidak mampu menunggang motosikal dan terpaksa harapkan anak-anak dan menantu yang tinggal berhampiran untuk mengambil ubat di klinik dan membeli barangan keperluan harian,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di rumahnya baru-baru ini.

Mohamed berkata, walaupun kudratnya semakin lemah namun dia akan tetap menjaga Manis selagi hayatnya masih ada kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya yang mempunyai keluarga sendiri.

Dia yang merupakan bekas pekerja ladang tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa bergantung dengan bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 daripada Baitulmal.

Sementara itu, Mohd. Azahar berkata, pihaknya akan menye­rahkan kerusi roda baharu kepada pasangan warga emas tersebut dalam masa terdekat selepas kerusi roda sedia ada rosak.

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana sukarelawan untuk turut membantu membersihkan rumah pasangan warga emas ini kerana isterinya sekarang terpaksa tinggal dalam bilik dengan keadaan yang tidak selesa,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Maybank milik Mohamed bernombor 101057400781.