Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong mengakui amat terkesan apabila melihat keluarga seramai sembilan orang terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan serta menetap di sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang sempit.

“Pada tahun 2015, saya pernah melawat keluarga ini selepas mendapat tahu mereka terpaksa menjalani kehidupan tanpa bekalan air bersih selama empat bulan selepas bekalan ke rumah mereka dipotong.

“Sebagai langkah awal, saya akan meletakkan keluarga ini dalam program baik pulih rumah bagi menggantikan atap yang bocor serta kerja-kerja baik pulih lain bagi memberi keselesaan kepada mereka,” katanya selepas melawat keluarga tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, memandangkan tidak seorang pun ahli keluarga tersebut yang bekerja kerana dikatogerikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kategori lembam serta masih bersekolah, beliau berjanji akan memanjangkan masalah keluarga tersebut kepada pihak berkaitan.

Tee Yong memberitahu, Rokiah ketika ini menerima bantuan bulanan warga emas sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala empat cucunya yeng mengalami masalah pembelajaran, masing-masing mendapat RM150 selain RM300 daripada Baitulmal.

Sementara itu, Rokiah memberitahu, lima cucunya itu adalah hasil perkahwinan arwah anak­nya, Zanariah Alwi yang meninggal kira-kira sebulan lalu akibat barah usus dan arwah suaminya, Nizar Harun, 45, akibat strok dua tahun lalu.

Malah anaknya, Suzana, 37, yang merupakan kembar Zanariah turut mengalami masalah lembam dan segala urusan persekolahan termasuk menghantar dan menjemput ke sekolah dilakukan oleh cucunya, Nurul Shakira Nizar, 16.

“Ketika ini tidak ada seorang pun di dalam rumah ini yang boleh bekerja mencari rezeki kera­na lima daripadanya masih bersekolah dan mak cik buntu memikirkan nasib mereka sekiranya mak cik sudah tiada nanti.

“Mak cik sebenarnya terkejut apabila didatangi oleh Datuk Chua (Tee Yong) kerana sebelum ini beliau pernah menolong menyelesaikan masalah bekalan air di rumah ini,” katanya.