Ketuanya, Zarina Mohd. Bain berkata, usaha itu bagi menemui seramai mungkin pengundi sebelum mereka mengundi.

“Pengisian program gerak mesra ialah seperti berjalan ka­ki 10,000 langkah, pertandi­ngan memasak, gubahan bunga­, cera­mah isu semasa selain pengedaran­ risalah berkaitan dasar-dasar baharu negeri Johor.

“Pihak kami juga akan me­nemui kumpulan sasaran lain seperti ibu-ibu tunggal, kumpulan Helwa, guru-guru dan sebagainya bagi mendekatkan mereka dengan Jalinan Rakyat (JR),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Gerak Mesra Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Norafandi Jamaian.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tanjung Piai, Tan Eng Ming; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Piai, Rahimah Ithnin dan Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Tanjung Piai, Selamat Othman.

Zarina yang juga Ketua Pene­rangan UMNO negeri berkata, gerak mesra JR itu merupakan susulan daripada beberapa program yang telah dijalankan bagi mendekatkan para pengundi.

“Ibarat kelajuan sebuah ken­deraan, persiapan kini sudah berada pada gear empat bagi menunggu sahaja pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi PRU-14,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar gerak kerja JR di setiap bahagian UMNO di negeri ini berada pada tahap siap sedia dengan maklumat serta data yang diperlukan pucuk pimpinan parti pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, usaha itu tentunya akan memudahkan bagi JR membantu jentera induk UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk me­lakukan gerak gempur dan tindakan selanjutnya berdasarkan kepada laporan dikemukakan.

Justeru, Zarina meminta segala kajian yang dilakukan petugas JR perlu tepat berdasarkan kepada fakta sebenar dan bukan berdasarkan kepada andaian tanpa turun ke lokasi.