Ketuanya, Haslinda Salleh ber­kata, gerak kerja telah pun dijalankan sebaik selesai PRU-13 secara berterusan hingga kini menerusi pelbagai program yang dijalankan seperti Jalinan Rakyat dan Ziarah Kasih yang turut memberi tum­puan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami sayap wanita UMNO di sini tidak turun padang pada waktu tertentu sahaja, terutamanya menjelang pilihan raya, sebalik­nya sentiasa bergerak sepanjang masa bagi memastikan UMNO mampu menjadi juara di hati masyarakat, di sini tanpa mengira kaum terutamanya dalam mem­bela nasib mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya bukan sahaja berterima kasih, malah berbangga dengan ahli wanita UMNO di sini yang tidak pernah patah semangat untuk turun padang dalam apa juga situasi walaupun pada masa sama mereka mempunyai tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Jalinan Mesra di Kampung Tenang, di sini semalam.

Menurutnya, selain ahli Wanita UMNO, mereka juga mendapat kerjasama dan bergerak secara bersama-sama sebagai sebuah pasukan dengan wanita parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Wanita MCA, MIC serta MyPPP.

Haslinda berkata, menjelang PRU-14, jentera wanita UMNO Labis akan melipatgandakan usa­ha untuk membantu kempen ca­lon-calon BN dalam kawasan Parlimen Labis, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan Bekok bagi memastikan kemenangan mereka.

“Selain untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Labis dan DUN Tenang dengan majoriti lebih besar, kerja keras turut dilakukan untuk merampas semula kerusi DUN Bekok yang terlepas kepada pihak pembangkang dalam PRU-13.

“Kami yakin usaha yang dilakukan secara berterusan ini mampu menjelmakan keputusan yang baik dalam pilihan raya umum kali ini sambil berharap ahli wanita UMNO tidak hilang fokus sepanjang tempoh berkempen nanti,” katanya.