Bagi penganalisis politik, faktor kemenangan BN di kerusi Parlimen dan DUN itu banyak dibantu oleh sokongan pengundi Melayu yang meliputi lebih 90 peratus termasuk warga Felda.

Hakikatnya, kekuatan sebenar BN di Parlimen dan DUN berkenaan adalah kerana prinsip walak (setia) terhadap institusi Presiden dan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan pemimpin BN bahagian berkenaan.

Perkara itu diperakui oleh Ke­tua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman yang menyifatkan kedua-dua faktor tersebut menjadi ‘pegangan’ BN Bahagian Kota Tinggi sejak dahulu hingga kini.

Justeru, tidak hairanlah apabila pucuk pimpinan meletakkan empat daripada lima bekas pemimpin luar sebagai calon BN di Parlimen Kota Tinggi sejak dahulu hingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), keputusan tersebut tetap di­sambut dengan hati terbuka dan berlapang dada oleh kepimpinan di kawasan berkenaan.

“Kalau boleh memang kita mahukan anak tempatan menjadi calon Parlimen dan DUN, tetapi kita akur dengan keputusan pucuk pimpinan kerana yakin apa yang diputuskan ada sebabnya.

“Apabila keputusan telah di­buat, kita tidak kisah dia adalah calon luar atau calon tempatan kerana apa yang penting adalah kita memastikan kerusi berke­naan dimenangi BN,” katanya, baru-baru ini.

Empat calon luar yang pernah bertanding kerusi Parlimen Kota Tinggi sebelum ini adalah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Tun Musa Hitam, Tan Sri Syed Hamid Albar serta Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid.

Daing A. Malek memberitahu, apabila nama Datuk Halimah Mohamed Sadique diketengahkan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU-14, keputusan itu tetap disambut baik oleh seluruh jentera parti komponen BN di Kota Tinggi.

“Saya boleh katakan calon kerusi Parlimen yang diketengahkan pada kali ini adalah seorang yang sangat berwibawa, lihat sahaja prestasi cemerlang beliau ketika menerajui Parlimen Tenggara.

“Bahkan hubungan saya dan Halimah bukan asing kerana beliau merupakan kawan baik saya. Suaminya adalah orang kampung saya di Sedili Besar, Kota Tinggi. Saya yakin dan langsung tidak meragui kemampuannya untuk memenangi dan menerajui Parlimen Kota Tinggi,” katanya.

Di sebalik ‘pengorbanan’ tinggi yang dilakukan BN Kota Tinggi, Daing A. Malik berkata, besar harapan pihaknya agar calon yang diketengahkan di bahagian tersebut mendapat kedudukan dalam pentadbiran sama ada dalam kerajaan Pusat atau negeri.

“Seperti Halimah, saya berharap agar jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat dikekalkan atau lebih baik dinaikkan sebagai menteri penuh.

“Saya percaya dengan jawatan tersebut, Halimah mampu membawa lebih baik kemajuan dan pembangunan khususnya di Kota Tinggi ini pada masa depan,” katanya.

Mengulas calon BN di kerusi DUN Sedili, Rasman Ithnain dan DUN Johor Lama, Rosleli Jahari, beliau percaya gandingan calon lama dan baharu itu mampu mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.

“Rasman merupakan calon berpengalaman dan dua penggal menjadi wakil rakyat DUN Sedili, manakala bagi Rosleli, saya yakin pengalamannya lebih 20 tahun dalam politik dan Pergerakan Pemuda UMNO akan banyak membantunya pada PRU-14,” katanya.