Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Kegiatan itu terus dibanteras Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri apabila merampas 230 tong LPG seberat 6,100 kilogram bernilai RM53,590 dalam serbuan di dua premis pemborong di Taman Tan Sri Yaacob, Johor Bahru semalam.

Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan pukul 12.15 tengah hari itu dilakukan 13 anggota penguat kuasanya selepas melakukan risikan selama tiga hari.

“Dalam serbuan ke atas premis pertama, kita merampas seba­nyak 150 tong LPG 14 kilogram (kg) keseluruhannya seberat 2,100 kg dimana ia melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 15,000 kg.

“Dalam serbuan kedua pula, kita merampas 80 tong gas LPG 50 kg keseluruhannya seberat 4,000 kg dimana melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 9,000 kg,” katanya dalam sidang akhbar di stor eksibit PPDNHEP Johor di Senai di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pemborong berkenaan bero­pe­rasi kira-kira lima tahun lalu dan pihaknya mengambil keterangan pemilik premis bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 (1) dan Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu peruncit memiliki barangan kawalan melebihi had yang dibenarkan pengawal dalam lesen dan gagal mematuhi arahan pengawal.

Ujarnya, serbuan terbaharu itu adalah kali ketiga dijalankan pihaknya dalam bulan ini, justeru pemborong dan peniaga dinasihatkan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan pihaknya akan terus melakukan operasi pe­nguatkuasaan bagi membendung perkara tersebut.