Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, program tersebut mendapat maklum balas positif daripada Ketua Polis Singapura yang menghantar wakilnya, Komander Divisyen Jurong, Asisten Komisioner Koh Wei Khiong untuk menjayakan program itu yang ber­langsung di Kompleks JB Sentral, di sini semalam.

Beliau berkata, program ber­ke­naan yang mempunyai persamaan dengan program yang dianjurkan oleh polis Singapura di Woodlands bertujuan mening­kat­kan omnipresence anggota polis di kawasan tumpuan ramai.

“Saya amat berterima kasih ke­pada pihak berkuasa republik berkenaan yang memberikan kerjasama erat dalam apa jua kes jenayah seperti kes penculikan baru-baru ini.


Video oleh RAJA JAAFAR

“Dengan kerjasama ini, kita akan menganjurkan lebih banyak program sama pada masa akan datang,” katanya selepas menutup program berkenaan.

Program anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kese­lamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut menyediakan gerai pameran dan kaunter pemeriksaan saman trafik.

Sementara itu, Wei Khiong menyambut baik program berke­naan yang dilihat mampu mendidik masyarakat khususnya ber­kaitan pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat.