Walaupun kawasan tanaman nanas tidak seluas dahulu, namun buah nanas tetap menjadi ikon daerah ini.

Seiring dengan pembangunan pesat negeri dan negara, daerah ini tidak tertinggal apatah lagi terletak dalam wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, koridor yang paling pesat membangun.

Lebih merancakkan pembangunannya, daerah ini 'dijaga' oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Benut dan Pulai Sebatang.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Maslan turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohamad dan ADUN Pulai Sebatang, Datuk Tee See Kiong turut diangkat menjadi ahli Exco kerajaan negeri.

Apabila berkunjung ke daerah ini baru-baru ini, ternyata di setiap kampung yang dilalui, ada pintu gerbang dan papan tanda yang dibina serta dihias cantik.

Rupa-rupanya memang idea daripada wakil rakyatnya yang mahukan supaya setiap 264 kampung di daerah ini mempunyai papan tanda atau pintu gerbang.

Malah bukan itu sahaja, jelas kelihatan surau, masjid, dewan muafakat dan gelanggang futsal baharu banyak dibina di daerah ini untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk.

“Saya cari peruntukan, saya pecah tanah dan rasmikan, pa­ling kurang dua kali saya pergi ke kampung itu.

“Usaha begitu juga mendekatkan saya dengan mereka kerana projek besar bukan selalu ada di hadapan mata mereka. Surau dan masjid baharu, jalan kampung lebih besar dan dapat berselisih itu memudahkan urusan mereka,” kata Ahmad kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebagai anak jati Kampung Parit Haji Yusof, beliau bertekad untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan ke kawasan Parlimen Pontian.

“Saya anak tempatan di sini dan peluang jadi wakil rakyat memang saya gunakan untuk membantu membawa kemudahan yang lebih baik. Saya lebih suka menggunakan istilah ‘mengqa­dakkan’ pembangunan, iaitu membawa seberapa banyak pembangunan ke kawasan Pontian ini supaya terus maju,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pada tahun 1996, ketika berumur 30 tahun barulah kampung tersebut menerima kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

“Sebelum itu, jika hendak ke pekan Pontian, kami kena naik bot melalui Sungai Benut dari Kampung Parit Haji Yusof. Keluarga saya penoreh getah dan saya amat memahami kehidupan desa dan berusaha untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Pontian apabila dipilih menjadi wakil rak­yat,” katanya sambil bertekad untuk membawa lebih banyak pembangunan andai terus diberi kepercayaan dan terpilih mewakili kawasan ber­kenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).