Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Itu komitmen Barisan Nasional (BN) Pontian kepada pengundi di kawasan itu menerusi Aku Janji BN Pontian yang memberikan 56 tawaran menerusi lima teras utama, iaitu Ekonomi nan sejahtera, Penyediaan prasarana komprehensif, Pembangunan minda, ba­kat dan kemahiran, Orang Muda Pontian dan Wanita Pontian.

Bukan sekadar janji kosong, namun BN Pontian yakin mampu melaksanakannya, malah pencapaian mereka telahpun dibuktikan selama lebih 60 tahun BN di daerah itu yang menyaksikan pembaharuan dan perubahan sesuai de­ngan kehendak masyarakatnya.

Sepanjang tempoh itu, kerancakan pembangunan di Pontian menyumbang terhadap kesejahteraan menerusi pertumbuhan ekonomi dan sosial yang sedikit sebanyak telah meningkatkan taraf hidup rakyat dan kehidupan lebih seimbang.

Selain itu, kedudukannya yang berhampiran dengan Iskandar Malaysia menyaksikan tempias pembangunan di wilayah ekonomi tersebut turut dirasai penduduk­nya, sekali gus menjadikan Pontian semakin dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung.

Pengarah BN Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pembangunan pesat yang berlaku itu menjadi bukti usaha dilakukan kerajaan negeri di bawah BN sama sekali tidak pernah meminggirkan kawasan di luar pusat pertumbuhan di Johor Bahru.

Menurutnya, Pontian bakal menjadi pusat pertumbuhan yang mendominasi pembangunan menerusi sektor pendidikan, pelancongan, perumahan dan kemudahan infrasuktur selain turut mendengar suara orang muda untuk bersama-sama membangunkan kawasan itu.

Hasni yang juga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut juga mahu perkembangan pendidikan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dari segi penguasaan ilmu penge­tahuan, kemahiran dan ketram­pilan profesionalisme terus di­man­tapkan dalam persediaan mem­bentuk tunggak negara pada masa depan bagi memacu kemajuan negara kelak.

“Aku Janji BN Pontian bukan hanya memberi tumpuan ekonomi atau penyediaan infrastruktur tetapi kita juga merangka tawaran yang melihat kepada pembangunan bakat pelbagai lapisan penduduk setempat, tumpuan kepada orang muda dan wanita.

“Menjadi sebuah negara membangun, lebih maju dan berjaya adalah harapan kita semua. Juste­ru, dengan aku janji itu, BN Pontian akan memastikan pelbagai pembaharuan dan pembangunan akan dinikmati masyarakat di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Hasni memberitahu, BN Pontian juga merancang untuk me­ngete­ngahkan sektor perikanan, akuakultur serta pelancongan marin, sekali gus menjadikan kawasan perairan di situ sebagai sebuah tempat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi di Parlimen Pontian yang merangkumi DUN Benut dan Pulai Sebatang untuk menunaikan kewajipan masing-masing dengan tidak menggadaikan masa depan negara di tangan pihak gabungan pembangkang PKR yang bercelaru.

“Undi anda adalah penyumbang kepada kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan negara,” katanya.