Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTM, Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan berkata, kerjasama itu turut melibatkan penyelidikan secara langsung dalam menyelesaikan masalah yang berlaku di sekitar bandar raya seperti pengurusan banjir kilat, pengurusan data dan pemantauan keadaan semasa struktur.

Katanya, menerusi kerjasama tersebut, satu ekosistem inovasi yang tinggi dapat dijana dan diharap memberi impak kepada warga bandar raya ini.

“Kerjasama selama setahun ini diharap dapat meningkatkan penglibatan ahli akademik dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada kakitangan MBJB yang berhasrat melanjutkan pe­ngajian di UTM.

“Turut diketengahkan dalam kerjasama ini adalah perlantikan penyelia penyelidikan bersama-sama rakan industri dan kakitangan kedua-dua pihak bagi program ilmiah sebagai pencera­mah jemputan, penilai program dan pengucap utama,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan MBJB di Dewan Sultan Iskandar, di sini, baru-baru ini. 

Yang turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Amran A. Rahman.

Zainuddin berkata, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada lebih banyak projek perundingan dan geran penyelidikan  yang dapat dijana berteraskan pengukuhan ekonomi dan matlamat Transformasi Negara 2050 (TN50).

Sementara itu, Amran berkata, kepakaran UTM dalam bidang penyelidikan dan kelestarian mampu memberi nilai tambah terhadap budaya kerja MBJB dalam bidang berkaitan. 

“Kita iktiraf UTM sebagai antara institusi penyelidikan yang terbaik dan berharap kerjasama ini memberi kebaikan kepada MBJB dan dapat dilanjutkan bagi tempoh yang panjang,” katanya.