Kerancakan pembangunan me­ga yang sedang dan akan dibangunkan di negeri permata selatan ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Johor, bahkan rakyatnya juga berpe­luang untuk turut sama dalam arus pemodenan berkenaan.

Peluang kerjaya yang terhi­dang dalam pelbagai sektor tidak seharusnya dilepaskan, khususnya oleh rakyatnya kerana agenda pembangunan Johor yang digagaskan kerajaan negeri memerlukan sumber manusia dan tenaga kerja yang baik.

Menyedari kepentingan tersebut, kerajaan negeri menerusi Unit Swadaya Insan Negeri Johor dan beberapa agensi lain berganding bahu meneruskan Kembara Kerjaya Swadaya Insan Johor 5.0 yang memasuki edisi kelima tahun ini.

Bertempat di Dewan Jubli In­tan Batu Pahat baru-baru ini, ribuan pencari kerja yang rata-ratanya golongan berusia dalam lingkungan 20-an menyerbu karnival tersebut yang menawarkan 10,000 kekosongan jawatan dari­pada 110 majikan di lima daerah yang dikunjungi.

Kembara selama empat hari yang berakhir di Iskandar Pute­ri turut disertai hampir 50 agensi kerajaan dan swasta yang ber­konvoi bersama-sama 50 buah kenderaan sepanjang program itu.

Usaha murni pihak tersebut yang berterusan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa wajar dipuji kerana membuka ruang kepada bakat-bakat terbaik yang berada di negeri ini mengisi kekosongan jawatan selaras dengan komitmen dan aspirasi kerajaan nege­ri.

Kerajaan negeri juga mene­gaskan pekerjaan bukan sahaja bermaksud memberi pendapatan tetapi mestilah sebagai platform yang memberi peluang kepada anak-anak Johor melonjak lebih jauh dalam menjalani kehidupan masing-masing dengan selesa dan seimbang.

Program-program seperti skilling, upskilling dan reskilling sentiasa menjadi sebahagian usaha pihak berkenaan kerana tidak mahu masyarakat hanya kekal di takuk sedia ada tanpa mahu memajukan diri.

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tenaga buruh di negeri itu juga perlu berupaya untuk 'survive' dalam apa jua situasi ekonomi biarpun menyedarinya adalah perkara yang sukar.

Ketika merasmikan kembara berkenaan, beliau turut mengingatkan para majikan supaya memberi keutamaan kepada warga tempatan, khususnya rakyat negeri ini bagi mengisi kekosongan jawatan tanpa terlalu cepat mengambil jalan mudah dengan menggaji warga asing.

Menurutnya, syarikat multi­nasional, pelabur mahupun syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) adalah watak penting dalam memastikan penempatan pekerjaan kepada warga tempatan.

“Kembara kerjaya ini bertujuan sebagai satu proses bersepadu dalam menyampaikan maklumat secara langsung kepada masyarakat. Saya akui, platform yang lain seperti hebahan secara konvensional di dada-dada akhbar dan radio, mahupun platform digital dan online seperti laman web sudah banyak memberikan maklumat kepada masyarakat.

“Tetapi, karnival seperti ini masih relevan dan penting kerana bukan sahaja menggambarkan kesungguhan kerajaan nege­ri, malah kita mahu masyarakat sedar dan lihat sendiri bahawa sebenar­nya wujud pelbagai peluang yang boleh mereka rebut dengan adil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan memaklumkan, seramai 5,548 orang telah berjaya ditempatkan untuk mengisi pekerjaan menerusi empat edisi sebelum ini yang secara tidak langsung membantu keluarga masing-masing daripada segi penambahan pendapatan, perbe­lanjaan dan sara hidup.

Selain penempatan pekerjaan, seramai 6,036 orang pula telah didaftarkan untuk latihan kemahiran sejak 2014 di pelbagai sektor industri seperti pembuatan, hospitaliti, perkhidmatan dan pengurusan perniagaan, katanya.